Bekas pengurus besar direman salah guna kedudukan lulus kenaikan pangkat

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang bekas pengurus besar sebuah syarikat pegangan pelaburan hartanah direman dua hari bagi membantu siasatan kes salah guna kedudukan untuk meluluskan kenaikan pangkat, pelarasan gaji dan pemberian bonus tanpa mengikut prosedur standard operasi (SOP).

Perintah reman selama dua hari sehingga esok terhadap lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin di Shah Alam, hari ini, selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara 2023 hingga 2025 ketika menjawat jawatan pengurus besar di syarikat berkenaan bagi mendapatkan faedah serta ganjaran perkhidmatan,” katanya.

Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top