MISI memburu emas di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bakal menjadi lebih bermakna buat skuad bola keranjang negara apabila Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) menawarkan ganjaran lumayan kepada pemain dan jurulatih.
Presidennya, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, kejayaan meraih emas akan menyaksikan setiap pemain dan jurulatih menerima sebuah pangsapuri dua bilik di Puchong bernilai lebih RM400,000, selain insentif tunai.
Katanya, MABA turut menyediakan insentif berbeza mengikut pencapaian, dengan pemain yang membawa pulang gangsa menerima RM10,000, manakala jurulatih mendapat RM20,000.
“Bagi pingat perak, pemain akan menerima RM20,000 dan jurulatih RM40,000. Jika berjaya memenangi emas pula, pemain menerima RM50,000, manakala jurulatih RM100,000 selain sebuah pangsapuri di Puchong,” katanya.
Tian Hock berkata, MABA sebelum ini turut menyediakan ganjaran berbentuk kediaman kepada skuad wanita negara yang memenangi emas Sukan SEA pada 2015 dan 2017, dengan pangsapuri bernilai RM330,000 di Cheras diberikan sebagai penghargaan.
Pada Sukan Asia kali ini, Malaysia akan mempertaruhkan pasukan wanita 5×5 serta skuad lelaki dan wanita 3×3, dengan MABA meletakkan sasaran sekurang-kurangnya satu gangsa menerusi pasukan 3×3 lelaki.
“Bagi kategori wanita, saingan agak sengit, tetapi kita mahu semua pasukan memberikan aksi terbaik dan tidak mustahil untuk mencipta kejutan di temasya berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, ganjaran yang ditawarkan itu diharap dapat menyuntik motivasi kepada pemain untuk bekerja lebih keras dan memburu kejayaan setiap kali mewakili negara di pentas antarabangsa.