Teknologi tempatan diiktiraf MOSTI: Arvia Solutions raih pensijilan Mysti untuk Bizcore ERP dan CRM

Teknologi tempatan diiktiraf MOSTI: Arvia Solutions raih pensijilan Mysti untuk Bizcore ERP dan CRM

PUTRAJAYA: Arvia Solutions Sdn Bhd hari ini mencatat satu lagi pencapaian penting dalam landskap teknologi tempatan apabila menerima Pengiktirafan Pensijilan Malaysia Standards for Technology and Innovation (MYSTI) daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi sistem ERP & CRM Bizcore, sebuah penyelesaian teknologi yang dibangunkan menerusi inovasi tempatan.

Pengiktirafan tersebut disampaikan dalam satu majlis yang berlangsung di The Everly Hotel, Putrajaya.

Majlis penyerahan sijil telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan, B.C. Kalaichelvan, dan turut dihadiri oleh Naib Presiden Peniagawati Malaysia, Dr. Latifah Ghazali, bersama barisan pengurusan dan warga kerja Arvia Solutions.

Pengiktirafan MYSTI menjadi bukti terhadap keupayaan Arvia Solutions dalam membangunkan penyelesaian teknologi yang berteraskan inovasi, penyelidikan dan pembangunan tempatan, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Bizcore sebagai platform digital yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan perniagaan di Malaysia.

Teknologi tempatan diiktiraf MOSTI: Arvia Solutions raih pensijilan Mysti untuk Bizcore ERP dan CRM
Nurul Ain Mohamad Khdri Ketua bersama pasukan pembangunan ARVIA menerima mock-up pengiktirafan MySTI daripada Kalaichelvan Balakrishnan sempena Majlis Pengiktirafan Pensijilan MySTI.

Bizcore ERP & CRM merupakan sistem pengurusan perniagaan bersepadu yang direka bagi membantu organisasi mengurus operasi, pelanggan dan proses perniagaan dengan lebih sistematik dalam satu platform.

Sistem ini menggabungkan fungsi Enterprise Resource Planning (ERP) dan Customer Relationship Management (CRM) bagi meningkatkan kecekapan operasi, produktiviti serta pengurusan hubungan pelanggan.

Antara kelebihan utama Bizcore adalah keupayaannya menyokong pendigitalan proses perniagaan, termasuk pengurusan kewangan, jualan, pelanggan, operasi dan data organisasi.

Bizcore turut dilengkapi dengan ciri kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pengguna mendapatkan maklumat, membuat analisis dan melaksanakan tugasan tertentu dengan lebih pantas dan efisien.

Pengiktirafan MYSTI turut mencerminkan komitmen Arvia Solutions dalam menyokong agenda negara untuk memperkukuhkan ekosistem teknologi dan inovasi tempatan, khususnya melalui pembangunan produk digital yang mampu memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), organisasi korporat serta pelbagai sektor di Malaysia.

Menurut Nurul Ain Mohamad Khdri, Ketua Pegawai Eksekutif Arvia Solutions Sdn Bhd, pengiktirafan tersebut merupakan satu pencapaian yang amat bermakna kepada syarikat dan pasukan yang terlibat dalam pembangunan Bizcore.

“Pengiktirafan ini membuktikan teknologi tempatan mampu menyelesaikan cabaran sebenar perniagaan. Kami mahu BizCore membantu lebih banyak PKS bekerja dengan lebih tersusun, pantas dan berasaskan data,” katanya.

Pengiktirafan MYSTI mengukuhkan komitmen Arvia Solutions untuk terus memperkembangkan Bizcore sebagai penyelesaian teknologi tempatan serta menyokong agenda pendigitalan dan inovasi negara. –UTUSAN

Scroll to Top