Penemuan mayat dalam tangki kumbahan, polis klasifikasi kes sebagai bunuh

audreymd@nst.com.m

Nibong Tebal: Penemuan mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang di sebuah rumah di Taman Seri Bistari, di sini, semalam, membawa kepada pengklasifikasian semula kes itu sebagai kes bunuh oleh polis

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Deputi Superintendan Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata, laporan orang hilang dibuat pada 7 September lalu sebelum siasatan dijalankan bagi mengesan mangsa.

Katanya, polis menemukan mayat di sebuah rumah di Taman Seri Bistari, semalam.

“Bedah siasat dijalankan hari ini dan identiti mangsa disahkan.

“Berdasarkan hasil bedah siasat serta perkembangan siasatan, polis mengklasifikasikan semula kes daripada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Norazmi berkata, polis menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti motif dan keadaan sebenar kejadian, selain mengesan serta menahan mana-mana suspek yang terbabit.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan itu boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Penolong Superintendan Jegathiswaran Chanthirasegaran di talian 04-585 8222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini dilaporkan, bau busuk yang datang dari sebuah rumah di Taman Seri Bistari, di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki dalam tangki kumbahan, semalam.

Polis sebelum itu menerima laporan orang hilang daripada keluarga mangsa di daerah Seberang Perai Tengah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top