PETALING JAYA: Sebanyak 98.2 peratus organisasi di peringkat global menyifatkan jumlah kos pemilikan (TCO) storan data sebagai faktor paling kritikal berikutan lonjakan simpanan data yang dicetuskan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) dan AI Generatif (GenAI).
Dapatan kajian terbaharu International Data Corporation (IDC) yang ditaja oleh WD mendedahkan bahawa kebangkitan AI kini mula memberi tekanan secara langsung kepada ekonomi infrastruktur IT syarikat berikutan pengumpulan data berasaskan struktur secara berterusan.
Kertas Putih IDC bertajuk Built for Scale: The Enduring Role of HDDs in the AI Era menunjukkan beban kos berkenaan berpunca daripada tindakan 94.7 peratus organisasi yang menyimpan lebih banyak data sepanjang 12 bulan lalu untuk menyokong ekosistem AI masing-masing.
Malah, fenomena itu menyaksikan 61 peratus syarikat mengalami pertumbuhan data sebanyak 25 peratus atau lebih berbanding tahun lalu, manakala 74 peratus lagi menjangkakan lonjakan data berterusan melepasi paras 25 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif WD, Irving Tan berkata, implikasi kos penyimpanan data kini menjadi keutamaan apabila tumpuan perbincangan infrastruktur AI mula beralih daripada keupayaan pemprosesan kepada pengurusan penyimpanan secara komprehensif.
“Sejak beberapa tahun lalu, perbincangan berpusat pada keupayaan pemprosesan, namun asas sebenar AI adalah data. Organisasi kini menghasilkan lebih banyak data, menyimpannya lebih lama dan mencari jalan baharu untuk mengaut nilai daripada maklumat sedia ada.
“Keperluan untuk mengurus data secara ekonomik pada skala besar bukan lagi pertimbangan sekunder, sebaliknya kini menjadi faktor paling kritikal yang menentukan sejauh mana teknologi AI dapat berkembang,” katanya dalam laporan tersebut.
Kajian itu turut mendedahkan bahawa faktor peningkatan kos turut disumbangkan oleh trend pengekalan data jangka panjang, yang mana 74.3 peratus organisasi memilih untuk tidak memadamkan data lama berikutan nilai ekonominya yang meningkat.
Malah, sebanyak 75.9 peratus responden bertindak membawa semula data arkib secara aktif ke talian bagi menyokong inferens AI serta aplikasi generasi diuji semula (RAG), sekali gus menambah beban ke atas kapasiti storan sedia ada.
Di samping itu, kajian menunjukkan bahawa 74.6 peratus data perusahaan kini berada dalam peringkat penyimpanan suam, sejuk dan arkib, manakala lebih 60 peratus daripada jumlah tasik data terdiri daripada data sejuk yang jarang dicapai.
Sehubungan itu, dapatan kajian berkenaan mengesyorkan syarikat untuk meneliti semula seni bina storan digital merentasi keseluruhan kitaran hayat data AI bagi mengimbangi antara prestasi, kapasiti dan kos operasi jangka panjang. – UTUSAN

