nurul_husna@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Keadaan jerebu di seluruh negara menunjukkan trend pemulihan positif apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kebanyakan kawasan mencatatkan penurunan ketara setakat jam 8 pagi ini.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), 46 kawasan mencatatkan IPU pada tahap sederhana manakala lima kawasan lagi mencatatkan kualiti udara baik dan hanya 17 kawasan di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat.
Sementara itu, Sarawak masih kekal sebagai negeri yang paling terjejas apabila 11 kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat.
Kawasan terbabit merangkumi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian dengan IPU 194, diikuti Kuching (180), Samarahan (178), Sri Aman (170), Sarikei (166), Samalaju (161), Sibu (157), Mukah (155), Bintulu (151), Miri (136) dan ILP Miri (107).
Beberapa kawasan lain di Semenanjung dan Sabah turut berada pada status tidak sihat, antaranya Batu Muda di Kuala Lumpur (152), Politeknik Kota Kinabalu (149), Wilayah Persekutuan Labuan (124), Pasir Gudang di Johor (121), Kota Kinabalu (108) dan Kimanis (105).
Bagi 46 kawasan yang mencatatkan tahap sederhana, ia membabitkan sebahagian besar daerah di Semenanjung termasuk Cheras di Kuala Lumpur, Johan Setia di Selangor, Larkin dan Kota Tinggi di Johor, serta Paka dan Kemaman di Terengganu.
Perkembangan positif situasi jerebu ini didorong oleh faktor hujan di beberapa kawasan terjejas sejak semalam, terutamanya di Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Perak dan Johor.
Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka mengalami hujan pada sebelah pagi, manakala ribut petir diramal berlaku di beberapa kawasan pada sebelah petang.
Di Sarawak pula, ribut petir diramal berlaku di kawasan pedalaman pada sebelah petang diikuti hujan pada sebelah malam.
Meskipun kualiti udara semakin membaik, orang ramai khususnya kumpulan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan individu yang mempunyai penyakit respiratori dinasihatkan supaya terus mengambil langkah pencegahan.
Ini termasuk mengehadkan aktiviti di luar rumah serta memakai pelitup muka apabila berada di kawasan terbuka.
© New Straits Times Press (M) Bhd


