am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Seorang pekerja maut selepas struktur sementara yang menyokong perancah, runtuh di sebuah tapak pembinaan di sini.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan maut itu yang berlaku kira-kira jam 6.15 petang pada 8 September lalu.
Kenyataan itu berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai sedang menjalankan kerja merombak perancah di tingkat 8 bangunan di tapak pembinaan terbabit.
“Runtuhan struktur sementara yang menampung struktur perancah menyebabkan mangsa bersama struktur perancah terjatuh ke aras bawah.
” Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Susulan siasatan awal yang dijalankan, JKKP Pulau Pinang mengeluarkan arahan menghentikan aktiviti kerja berkaitan serta larangan kacau ganggu di kawasan kejadian bagi memastikan tempat kejadian dikekalkan dan tidak diubah atau diganggu sehingga siasatan lanjut selesai,” kata kenyataan itu.
JKKP Pulau Pinang berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17, Seksyen 18A dan Seksyen 18B, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514], serta peraturan-peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berkaitan.
Jabatan itu berkata, ia memandang serius kejadian kemalangan maut, khususnya membabitkan aktiviti kerja di tempat tinggi dan perancah.
Katanya, majikan diingatkan memastikan kerja dirancang dan dilaksanakan dengan selamat melalui pentaksiran serta kawalan risiko berkesan, termasuk penyediaan laluan naik dan turun yang selamat serta sistem perlindungan daripada jatuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd
