Pesakit kenang kebaikan Adit, temui cop dan namanya pada kad klinik lama

am@hmetro.com

Miri: “Apabila tengok gambar itu, saya rasa macam pernah kenal.” Itu luahan seorang bekas pesakit, Dayang Sufyina Awang Jaya, yang mengenali Pembantu Pegawai Perubatan (MA), Alexson Adit Henry, selepas melihat gambar mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang yang tular di media sosial.

Menurutnya, Alexson Adit yang lebih dikenali sebagai Adit adalah seorang yang ceria, kuat bergurau dan lemah lembut ketika melayan pesakit sepanjang bertugas di Klinik Kesihatan (KK) Bekenu dekat sini.

Katanya, perasaan ingin tahu selepas melihat gambar Adit di media sosial mendorongnya menyelongkar semula kad klinik lama yang masih disimpannya.

“Apabila tengok gambar yang tular di media sosial, saya rasa macam kenal. Jadi saya terus selongkar kad klinik (KK Bekenu) lama.

“Ternyata memang ada nama dan cop beliau di situ. Saya terus tergamam dan rasa sangat sedih.

“Dia pernah berjasa dan berkhidmat untuk kita masyarakat Bekenu. Pasti kita juga sedih dengan kehilangan ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kenangan terhadap Adit sebagai petugas kesihatan yang mesra dan mudah didekati menjadikan berita pemergiannya lebih menyentuh hati.

Adit sebelum ini pernah berkhidmat di KK Bekenu sebelum berpindah ke stesen lain dan seterusnya menyertai perkhidmatan Flying Doctor Service (FDS), yang membawa khidmat kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Mendiang antara lima individu yang maut dalam nahas helikopter FDS yang terhempas di Lapangan Terbang STOL Long Lellang, Ulu Baram, Selasa lalu.

Dalam kejadian itu, Adit bersama juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, serta tiga lagi petugas kesihatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Debra Moset dan Jessie Paya Jok, disahkan maut.

Pemergian Adit bukan sahaja meninggalkan kesedihan kepada keluarga dan rakan sekerja, malah turut dirasai bekas pesakit serta masyarakat yang pernah menerima khidmatnya.

Bagi masyarakat Bekenu, nama Adit mungkin sekadar tercatat pada sekeping kad klinik lama, namun bagi mereka yang pernah menerima khidmatnya, nama itu membawa bersama kenangan seorang petugas yang pernah hadir dan berbakti kepada masyarakat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top