Tak pernah lupa jasa Najib, Wanita UMNO doa pintu keadilan dan ihsan dibuka

Tak pernah lupa jasa Najib, Wanita UMNO doa pintu keadilan dan ihsan dibuka

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menegaskan sayap parti itu tidak pernah melupakan jasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disifatkan sebagai antara pemimpin terdahulu yang banyak mencurahkan tenaga dan kehidupan kepada parti serta negara.

Tak pernah lupa jasa Najib, Wanita UMNO doa pintu keadilan dan ihsan dibuka

Foto: UMNO Online

Beliau berkata, Wanita UMNO akan terus menitipkan doa agar “pintu keadilan dan ihsan” dibuka buat Najib, sekali gus memberi peluang kepada bekas pemimpin itu untuk kembali bersama keluarganya.

Berucap pada Ucapan Dasar Ketua Wanita Umno sempena Perhimpunan Agung Wanita Umno hari ini, Noraini berkata sejarah sumbangan pemimpin terdahulu tidak wajar dipadam hanya kerana berlaku perubahan dalam landskap politik.

“Kita tidak perlu memadam sejarah untuk membina masa depan,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Menurut beliau, jasa Najib dalam aspek pembangunan negara, transformasi ekonomi, pembinaan infrastruktur, bantuan kepada rakyat serta perjuangannya bersama UMNO merupakan sebahagian daripada sejarah perjalanan negara.

Katanya, sumbangan berkenaan tidak seharusnya dinafikan hanya disebabkan perubahan politik yang berlaku.

Dalam masa sama, Noraini berkata Wanita UMNO tetap menghormati institusi kehakiman serta proses perundangan yang berkaitan dengan kes-kes yang telah dan sedang dihadapi Najib.

Namun, beliau menegaskan bahawa pendirian menghormati proses undang-undang tidak bermakna nilai kemanusiaan perlu diketepikan.

“Wanita UMNO tahu mengenang jasa. Kepada Datuk Seri Najib dan keluarga, Wanita Umno mendoakan diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi setiap ujian.
“Kita terus berdoa agar pintu keadilan dan ihsan dibuka, supaya beliau dapat kembali ke pangkuan keluarga dan bersama-sama meneruskan perjuangan,” jelasnya.

Najib kini menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan terhadapnya dalam kes SRC International.

Sabitan itu melibatkan tujuh pertuduhan, termasuk salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta dana SRC International.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelum Najib dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

Bagaimanapun, pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Artikel lain: Hadir PAU 2026, Rosmah curi perhatian -“Ni nak salam Datuk Najib, Datuk Najib tak ada…”

Mengulas lanjut dalam ucapannya, Noraini berkata perjuangan politik tidak seharusnya menjadikan UMNO sebagai sebuah parti yang mudah melupakan individu yang pernah memberikan sumbangan kepada parti.

Beliau berkata, jasa dan pengorbanan mereka yang pernah bersama-sama membangunkan Umno perlu terus dihargai sebagai sebahagian daripada sejarah perjuangan parti.

Scroll to Top