SHAH ALAM – Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sepatutnya menjadi isu apabila Perlembagaan Persekutuan sendiri memperuntukkan kuasa berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, tidak wajar wujud dua darjat dalam soal pengampunan dengan piawaian sama perlu digunakan kepada semua pihak tanpa mengira nama atau latar belakang politik.
Beliau yang juga seorang peguam berkata, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan kuasa pengampunan dan hak itu tidak seharusnya dinafikan atas alasan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Jangan berselindung di sebalik slogan ‘rule of law’ untuk menafikan sesuatu yang Perlembagaan sendiri benarkan.
“Kalau semua pesalah wajib menghabiskan hukuman tanpa ruang pengampunan, untuk apa Perkara 42 diwujudkan?” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Nurul Syazwani berkata, pada 2018, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini Perdana Menteri menerima pengampunan penuh ketika masih menjalani hukuman sebelum dibebaskan dan keputusan itu perlu dihormati.
Bagaimanapun, katanya, perkara sama juga perlu dilihat secara adil apabila Najib memohon pengampunan.
“Kita hormati keputusan itu, tetapi jangan apabila pemimpin sendiri menerima pengampunan, kita panggil keadilan dan ihsan.
“Undang-undang dan Perlembagaan apa yang berubah? Atau hanya nama pemohonnya yang berubah?” soal beliau.
Menurutnya, sokongannya terhadap pengampunan Najib bukan bermaksud beliau mahu bekas Perdana Menteri itu berada di atas undang-undang.
Sebaliknya, beliau menuntut supaya piawaian sama digunakan kepada Najib seperti yang pernah diterima pihak lain.
“Saya menuntut ukuran yang sama digunakan kepada Najib sebagaimana kita pernah menerimanya untuk orang lain.
“Jangan politikkan hak yang diberikan oleh Perlembagaan,” katanya.
Nurul Syazwani menegaskan, keadilan, Perlembagaan dan ihsan tidak sepatutnya berubah mengikut nama individu atau parti politik.
“Perlembagaan tidak boleh memilih parti dan ihsan tidak sepatutnya memilih kawan atau lawan.
“Kalau dahulu boleh untuk Anwar, jangan hari ini kata salah apabila rakyat mengharapkan ihsan untuk Najib,” ujar beliau.