Penyatuan ummah antara UMNO dan PAS semakin mendapat perhatian pihak lawan sehingga terpaksa berdepan pelbagai cabaran dan tekanan dengan harga yang tinggi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keadaan itu dapat dilihat menerusi pelbagai intimidasi, fitnah dan tuduhan jahat yang didakwa sengaja direka bagi menakutkan serta mengaibkan kepimpinan parti.
Menurut beliau, serangan berkenaan turut bertujuan mencalarkan reputasi pemimpin selain menguji kecekalan mereka dalam menghadapi tekanan.
“Penyatuan ummah dengan rakan lama kita, Pas kini semakin dicemburui oleh lawan sehingga terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi.
“Pelbagai intimidasi, pelbagai fitnah dan pelbagai juga tuduhan-tuduhan jahat telah direka, semata-mata untuk mengaibkan, mencalar reputasi dan menguji kecekalan hati pimpinan kita,” katanya ketika membentangkan Laporan Setiausaha Agung pada pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, perjalanan perjuangan sememangnya tidak terlepas daripada pelbagai ujian yang disifatkan sebagai sunnatullah.
Katanya, pejuang yang benar-benar sabar dan cekal tidak akan mudah mengalah, sebaliknya terus mempertahankan perjuangan meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Beliau berkata, perkembangan mutakhir turut menjadi peringatan kepada UMNO mengenai sikap segelintir individu yang hanyut dengan kuasa sementara sehingga menyebabkan mereka hilang pertimbangan.
Artikel lain: Hadir PAU 2026, Rosmah curi perhatian -“Ni nak salam Datuk Najib, Datuk Najib tak ada…”
Menurutnya, terdapat pihak yang sanggup menyalahgunakan sisa jawatan dimiliki selain menganiaya individu yang sebelum ini membantu membawa mereka ke kedudukan tertinggi.
