Tembok tinggi dan pintu besi menjadi pemisah antara mereka dengan dunia luar. Di sebalik tembok itu, ada yang sedang menjalani hukuman atas kesalahan lalu sambil menghitung hari untuk kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.
Namun, apabila pintu penjara akhirnya terbuka, tidak semestinya segala-galanya terus menjadi mudah.
Status sebagai bekas banduan kadangkala membuatkan mereka terus dipandang serong. Kesalahan yang pernah dilakukan seolah-olah menjadi label yang perlu dibawa ke mana-mana, termasuk ketika mahu mendapatkan pekerjaan dan membina semula kehidupan.
Tanpa pekerjaan, pendapatan dan sistem sokongan yang stabil, proses untuk kembali berdikari juga menjadi lebih sukar. Sebab itu, peluang kedua bukan sekadar tentang menerima mereka kembali ke dalam masyarakat, tetapi memberikan ruang untuk mereka mencari rezeki dan membina kehidupan yang lebih baik.
Baru-baru ini, team Ohmedia berkesempatan menghadiri program Karnival Mega LINDUNG Kerjaya MYFuture Jobs anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Penjara Kajang, yang membuka peluang kepada prospek penjara untuk bertemu majikan dan melihat sendiri peluang pekerjaan yang tersedia selepas mereka dibebaskan kelak.
“Bila Keluar Nanti Saya Nak Sambung Dalam Bidang Makanan”

Semasa program tersebut, kami diberi peluang bertemu dengan seorang prospek Penjara Kajang yang mahu dikenali sebagai Rahman (bukan nama sebenar).
Masih berbaki kira-kira setahun sebelum menamatkan tempoh tahanannya, Rahman sudah mula memikirkan apa yang mahu dilakukan apabila kembali ke dunia luar. Bagi Rahman, dia mahu kembali kepada bidang yang sudah lama dekat dengan dirinya iaitu makanan.
“Sebelum ni saya memang bekerja dalam bahagian makanan. Kalau boleh bila keluar penjara nanti, saya nak sambung dalam kepakaran lama saya dalam bidang ni.
Walaupun berada di dalam penjara, kemahiran yang dimilikinya tidak terhenti begitu sahaja. Pengalaman menghasilkan pelbagai produk makanan menjadi sesuatu yang mahu dibawanya bersama apabila diberi peluang memulakan kehidupan baharu kelak.
“Dekat sini pun saya terlibat dengan produk makanan yang dijual. Sebelum ni dua tahun saya di bahagian kuih, saya buat karipap, donut semua. Sekarang saya buat roti pula,” katanya kepada Ohmedia.
Namun bagi Rahman dan rakan-rakannya, antara perkara yang bermain di fikiran adalah sama ada masyarakat, khususnya majikan, bersedia memberi mereka peluang tersebut.
“Keluar Nanti Dah Ada Kerja, Dah Ada Hala Tuju”
Menurut Rahman, program seperti LINDUNG Kerjaya MYFuture Jobs amat bermakna kerana realitinya status sebagai bekas banduan boleh menjadi antara halangan apabila mereka mahu mencari pekerjaan. Ada majikan yang mungkin mempunyai keraguan untuk mengambil mereka bekerja disebabkan latar belakang dan kesalahan lalu.
Apabila majikan sendiri hadir bertemu, menemu duga dan mempertimbangkan mereka berdasarkan kebolehan serta kemahiran yang dimiliki, ia sedikit sebanyak memberikan keyakinan bahawa masih ada ruang untuk mereka bermula semula.
“Macam ni kita dah tak risau. Keluar nanti dah ada kerja. Orang kata dah ada hala tuju,” luahnya.
Ayatnya mungkin ringkas, tetapi bagi seseorang yang bakal memulakan semula kehidupan selepas bertahun-tahun berada di sebalik tembok penjara, mempunyai pekerjaan bermakna mereka sudah tahu ke mana hendak dituju selepas melangkah keluar nanti.
Pekerjaan bukan sahaja memberikan sumber pendapatan, malah boleh menjadi asas untuk mereka kembali berdikari, membina rutin kehidupan dan menyesuaikan diri semula dalam masyarakat.
Majikan Sendiri Turun Cari Calon Di Penjara Kajang
Apa yang menarik mengenai LINDUNG Kerjaya MYFuture Jobs adalah usaha ini bukan hanya mempersiapkan prospek penjara untuk mencari pekerjaan selepas dibebaskan. Sebaliknya, majikan turut dibawa masuk untuk bertemu sendiri dengan calon dan melihat potensi yang mereka miliki.
Ohmedia turut berkesempatan menemu bual salah seorang wakil majikan yang menyertai program tersebut, Yereen, yang memberitahu ini merupakan kali kedua pihaknya menyertai LINDUNG Kerjaya MYFuture Jobs bersama PERKESO untuk mencari calon dalam kalangan prospek penjara.
Sebelum ini, pihaknya turut menyertai program sama melibatkan prospek di Penjara Marang, Terengganu.
Bagi Yereen, latar belakang seseorang tidak seharusnya terus menutup peluang mereka untuk bekerja sekiranya mempunyai kemahuan untuk belajar dan membina kehidupan yang lebih baik.
“Kalau tanya saya, saya lagi pilih ambil pekerja tempatan berbanding warga asing. Sebabnya warga tempatan ni mereka dah tahu SOP semua.Kita cuma bagi peluang dan bimbing mereka lagi supaya mereka dapat kemahiran tu dan dapat terus bekerja,” katanya.
Pendekatan seperti ini penting kerana peluang kedua tidak akan dapat direalisasikan sekiranya hanya satu pihak yang bersedia.
Prospek boleh dilatih dan diberikan kemahiran, tetapi pada akhirnya mereka tetap memerlukan majikan yang sanggup membuka pintu dan menilai mereka berdasarkan potensi untuk bergerak ke hadapan.
Peluang Kedua Tak Seharusnya Berakhir Di Pintu Penjara

Penglibatan awal majikan menerusi Portal MYFutureJobs menjadi antara komponen penting kerana ia membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan ini, selain membantu memenuhi keperluan tenaga kerja dalam negara.
Malah pekerjaan dan kemahiran memberi mereka sesuatu yang sangat penting apabila kembali ke dunia luar, peluang untuk berdikari dan membuktikan bahawa kehidupan tidak semestinya ditentukan selama-lamanya oleh kesalahan lalu.
Masyarakat mungkin tidak boleh mengubah apa yang pernah berlaku, tetapi ruang untuk berubah masih boleh diberikan.
Kongsikan artikel ini
Kongsikan artikel ini jika anda rasa lebih ramai patut mengetahuinya.
BULETIN OH! MEDIA
Baca Yang Paling Best Je.
Berita terbaik terus ke e-mel anda setiap malam. Percuma!
Pautan artikel telah disalin.
Mastura adalah Ketua Penulis Editorial sepenuh masa di Oh! Media, pakar dalam menyampaikan artikel pemasaran dengan gaya yang santai namun penuh informasi, memastikan setiap kandungan mudah difahami dan relevan untuk pembaca.

