KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum dapat memastikan sama ada penambahan nisbah perwakilan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata, Kabinet sudah membuat keputusan berhubung perkara itu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dimaklumkan untuk memulakan rundingan.
“Kabinet sudah putuskan, saya sudah maklumkan kepada SPR dan mereka akan terus mulakan rundingan. Saya fikir kalau untuk pilihan raya ini, saya tak pasti boleh sempat atau tidak.
“Sebab kena muafakat, kemudian dari segi proses, saya tidak mahu ganggu dari segi proses perlembagaan. Tetapi yang penting keputusan dibuat dan SPR telah dimaklumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026.
Sebelum itu, beliau ditanya mengenai peningkatan ratio adakah diharapkan akan dilaksanakan sebelum atau selepas PRU yang bakal tiba tidak lama lagi.
Dalam sidang akhbar tersebut, Anwar berkata, Perlembagaan Persekutuan akan dipinda bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud serta beberapa pimpinan dari kedua-dua negeri tersebut.
