Tafahum Siyasi dan Agenda Malaysia Biru: Dua paksi strategik ucapan dasar Presiden UMNO

UCAPAN Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 memperlihatkan usaha yang jelas untuk mengalihkan wacana parti daripada nostalgia politik kepada persoalan strategi, kerjasama dan tawaran dasar.

Daripada keseluruhan ucapan bertemakan “Melakar Masa Depan Bangsa”, dua gagasan paling menonjol ialah Tafahum Siyasi sebagai kerangka persefahaman politik dan Agenda Malaysia Biru sebagai tawaran dasar jangka panjang sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali menerajui kerajaan Persekutuan.

Kedua-duanya saling melengkapi. Gagasan yang pertama menjawab persoalan bagaimana kekuatan dan kestabilan politik boleh dibina manakala gagasan yang kedua cuba menjelaskan untuk tujuan apa mandat pemerintahan itu mahu digunakan.

Gagasan ini perlu dilihat dalam konteks pengakuan Ahmad Zahid bahawa medan politik Malaysia telah berubah. Politik Melayu tidak lagi berpusat pada satu wadah, kesetiaan pengundi tidak lagi diwarisi dan generasi baharu tidak terikat dengan nostalgia lama.

Justeru, pendekatan politik juga tidak boleh lagi bersifat seragam. Dalam kerangka inilah Tafahum Siyasi tampil sebagai percubaan membentuk formula baharu yang lebih pragmatik tanpa mengorbankan identiti parti.

Tafahum Siyasi diperkenalkan dalam konteks “Kolaborasi Agung”, iaitu persefahaman antara gabungan parti politik tanpa memerlukan penggabungan organisasi.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa model ini bertujuan mengelakkan pertembungan yang merugikan, terutama dalam suasana politik Melayu yang semakin terpecah.

Ucapan ini secara terbuka mengakui keresahan terhadap pertembungan sesama parti Melayu dan menyeru supaya episod lama dilupakan demi membina semula penyatuan.

Namun begitu, persefahaman tersebut tidak bermaksud UMNO perlu mencairkan identitinya; prinsipnya ialah “UMNO tetap UMNO” dan “BN tetap BN”.

Dari sudut konsep, Tafahum Siyasi dibina atas tiga asas, iaitu mengutamakan persamaan demi maslahah umum, menghormati perbezaan ideologi, identiti dan garis sempadan masing-masing, serta berpegang pada prinsip toleransi dan keanjalan dalam membuat keputusan.

Kerangka ini signifikan kerana ia cuba membezakan kerjasama strategik daripada penyeragaman politik.

Dalam sistem pelbagai parti, formula sedemikian membuka ruang kepada kerjasama terpilih tanpa menuntut setiap pihak melepaskan pendirian asas.

Meskipun begitu, Ahmad Zahid turut menetapkan prasyarat yang tegas, di mana tiada pengkhianatan, tiada persefahaman yang disepakati pada siang hari tetapi diruntuhkan pada malam hari dan tiada perjanjian yang dimungkiri.

Penggunaan Perjanjian Hudaibiyah dan Fathu Makkah sebagai analogi politik pula memberikan dimensi moral kepada gagasan tersebut.

Ahmad Zahid menekankan bahawa kemenangan bukan semata-mata tentang memperoleh kuasa, tetapi bagaimana kuasa digunakan selepas kemenangan.

Menurut beliau, kemenangan tidak seharusnya menjadi alasan untuk membalas dendam, menghukum pihak yang tidak bersama atau melebarkan sengketa.

Sebaliknya, kemenangan ialah amanah untuk menyatukan rakyat, memulihkan negara dan membina masa depan sejahtera untuk semua.

Jika Tafahum Siyasi ialah kerangka politik, Agenda Malaysia Biru pula merupakan kandungan pemerintahan yang mahu ditawarkan.

Agenda ini dirumuskan melalui empat cita-cita besar: Malaysia yang Berdaulat dan Bersatu; Inovatif dan Berpendapatan Tinggi; Rakyat Makmur dan Saksama; serta Unggul dan Disegani Dunia.

Daripada kerangka tersebut, lapan ikhtiar utama dikemukakan:

Pertama, Malaysia Negara Pencipta, dengan peralihan daripada sekadar ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’, yakni penekanan terhadap teknologi, reka bentuk, jenama dan pemilikan oleh rakyat Malaysia.

Kedua, Malaysia Negara Berkemahiran, dengan sasaran 80 peratus tenaga kerja berada dalam kategori berkemahiran tinggi dan memperoleh gaji premium.

Ikhtiar ketiga ialah Malaysia Negara Pemilik, dengan sasaran 60 peratus rakyat dewasa memiliki sekurang-kurangnya satu aset yang menjana nilai. Ini memperlihatkan perubahan fokus daripada pendapatan semata-mata kepada pembentukan kekayaan dan pemilikan aset.

Keempat, Malaysia Negara Sejahtera, yang mengukur kesejahteraan bukan hanya melalui KDNK tetapi juga baki sebenar pendapatan isi rumah.

Sasaran yang dikemukakan ialah setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan boleh guna selepas memenuhi keperluan asas untuk disimpan, dilabur atau digunakan bagi menikmati kehidupan.

Kelima, Malaysia Negara Berdaya Tahan, dengan sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus kemandirian dalam keperluan strategik seperti makanan, perubatan, telekomunikasi, tenaga, air, pertahanan dan industri strategik.

Keenam, Malaysia Negara Peduli, yang mahu meletakkan penjagaan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya, pesakit jangka panjang serta para penjaga sebagai sebahagian daripada seni bina ekonomi negara.

Ketujuh, Malaysia Negara Beramanah, dengan sasaran Malaysia berada dalam kelompok 20 negara terbaik dunia dari segi integriti, tadbir urus dan kedaulatan undang-undang.

Kelapan, Malaysia Negara Berdaulat, yang menekankan dasar luar berasaskan kepentingan nasional serta aspirasi menjadikan Malaysia sebuah kuasa pertengahan yang berpengaruh.

Salah satu kekuatan Agenda Malaysia Biru ialah kewujudan beberapa sasaran kuantitatif, menjadikannya lebih mudah dinilai berbanding gagasan yang hanya bersifat slogan.

Pada masa yang sama, ujian sebenarnya ialah pada mekanisme pelaksanaan, kos fiskal, garis masa, institusi peneraju dan ukuran pencapaiannya.

Ucapan Ahmad Zahid mula menunjukkan arah tersebut melalui cadangan penstrukturan percukaian termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax, GST) pada kadar munasabah, penyelarasan jaminan sosial, pemudahan urusan perniagaan, pembangunan ekonomi wilayah, kebajikan penjawat awam dan guru, pengarusperdanaan muamalah Islam serta pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) sebagai agenda seluruh kerajaan.

Secara keseluruhannya, Tafahum Siyasi dan Agenda Malaysia Biru merupakan dua komponen paling substantif dalam ucapan dasar Ahmad Zahid ini.

Tafahum Siyasi cuba menjawab realiti politik berbilang parti melalui formula kerjasama yang fleksibel tetapi berprinsip sementara Agenda Malaysia Biru memberikan kandungan dasar kepada cita-cita mendapatkan semula mandat pemerintahan.

Kekuatan utama ucapan ini ialah keberanian Ahmad Zahid menggabungkan realiti politik dengan imaginasi dasar.

Beliau tidak sekadar menyeru UMNO kembali berkuasa, tetapi cuba menjelaskan dengan siapa parti itu boleh bekerjasama, atas prinsip apa kerjasama itu dibina dan apakah bentuk Malaysia yang mahu diwujudkan sekiranya mandat pemerintahan diperoleh semula.

Dalam hal ini, Tafahum Siyasi menyediakan jambatan politik manakala Agenda Malaysia Biru menyediakan peta perjalanan negara.

Di sinilah terserlah kematangan politik Ahmad Zahid. Selepas lapan tahun memimpin UMNO dalam fasa paling mencabar dalam sejarah parti, beliau tampil bukan lagi sekadar sebagai presiden yang mempertahankan kelangsungan UMNO, tetapi sebagai pemimpin yang cuba membawa parti itu keluar daripada politik nostalgia menuju politik penyelesaian.

Jika Tafahum Siyasi berjaya membina kekuatan dan Agenda Malaysia Biru berjaya diterjemahkan menjadi dasar, maka ucapan ini mungkin akan dikenang sebagai titik ketika Ahmad Zahid bukan sekadar “melakar masa depan bangsa”, tetapi mula melakar semula jalan UMNO untuk kembali menjadi peneraju masa depan Malaysia.

*** Prof Dr Rusdi Omar ialah Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM)

Scroll to Top