Bayaran interim untuk Sarawak diumum 16 September – PM

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan bayaran interim berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi Sarawak sempena Hari Malaysia pada 16 September ini.

Perdana Menteri berkata, perbincangan mengenainya akan diteruskan bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg dalam beberapa hari ini.

Katanya, langkah sama untuk Sabah itu turut dilaksanakan untuk Sarawak meskipun ia tidak termasuk dalam peruntukan 112D Perlembagaan Persekutuan bagi negeri itu.

“Mengenai Sarawak, walaupun tidak termasuk dalam 112D peruntukan Perlembagaan tapi semangat yang sama harus diperkirakan.

“Saya akan terus bincang dalam beberapa hari ini dengan Premier, mudah-mudahan sebaik 16 September, Hari Malaysia di Kuching saya boleh umumkan juga langkah interim untuk Sarawak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), di sini, hari ini.

Hadir sama Abang Johari; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan pemberian khas RM1.5 bilion secara interim kepada Sabah sehingga rundingan tuntutan bayaran hasil bersih 40 peratus Sabah diselesaikan.

Sementara itu, Anwar berkata Sarawak juga ada mengemukakan pandangan mengenai formula yang boleh diperkenalkan berkaitan pembayaran khas untuk Sabah dan Sarawak.

“Ia supaya jelas formula itu mengambil kira kedudukan kewangan negara, keupayaan, apa yang minimum yang boleh dipertimbangkan dan juga maksimum.

“Saya setuju dan sudah minta Kementerian Kewangan dan Kementerian Kewangan Sarawak untuk bincangkan mengenai memperkenalkan formula ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari dalam maklum balasnya, berkata formula yang dicadangkan Sarawak adalah bersifat menang-menang kepada kedua-dua pihak.

“Saya mengucapkan terima kasih atas persetujuan untuk menentukan formula menang-menang di antara kita dengan persekutuan.

“Kalau negara kita baik, sudah tentu persekutuan juga baik. Kalau tak baik kita pun menerima hakikat supaya kestabilan kewangan negara ini akan stabil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top