Pengeluaran minyak mentah Arab Saudi merosot paras terendah

RIYADH: Pengeluaran minyak mentah Arab Saudi merosot hampir dua juta tong sehari pada Ogos kepada paras terendah dalam tempoh lebih 35 tahun, ketika konflik di seluruh Asia Barat menjejaskan laluan eksport kerajaan itu, lapor Bloomberg pada Khamis.

Riyadh memaklumkan kepada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) bahawa pengeluarannya susut sebanyak 1.9 juta tong sehari bulan lalu kepada 6.238 juta tong sehari, menurut laporan bulanan kumpulan itu yang diperoleh agensi berkenaan.

Angka itu merupakan paras terendah baharu sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada akhir Februari, selain menjadi tahap pengeluaran terendah kerajaan itu sejak tercetusnya Perang Teluk pada 1990.

Arab Saudi berdepan gangguan pada kedua-dua laluan utama eksport maritimnya. 

Pergerakan kapal melalui Selat Hormuz terjejas teruk susulan konflik berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, menyebabkan kerajaan itu lebih bergantung kepada laluan Laut Merah.

Pasukan Houthi yang bersekutu dengan Iran di Yemen turut memperbaharui perang terhadap pasukan kerajaan yang disokong Arab Saudi dan mengisytiharkan sekatan maritim terhadap kerajaan itu.

Houthi juga menyasarkan secara langsung infrastruktur tenaga Arab Saudi. 

Serangan bertubi-tubi menggunakan peluru berpandu dan dron pada Selasa menyebabkan kemudahan minyak terbakar dan memaksa operasi di beberapa fasiliti dihentikan, menurut pihak berkuasa Arab Saudi, walaupun Riyadh tidak memberikan banyak butiran mengenai skala kerosakan atau kesannya terhadap pengeluaran. – AGENSI

Scroll to Top