MA63 tidak boleh dijadikan agenda penting pilihan raya – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak boleh dijadikan agenda penting hanya ketika musim pilihan raya sebaliknya komitmen terhadap Sabah dan Sarawak tidak mengenal musim, kata Ketua Wanita PKR, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Beliau yang menegaskan perkara itu berkata, MA63 bukan perkara baharu bahkan telah lama menjadi sebahagian daripada perjuangan dan perlembagaan parti.

“Bagi kami, menghormati MA63 bermakna menghormati suara dan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata, dalam konteks pendidikan, pelbagai perkara yang selama ini dibangkitkan oleh kedua-dua negeri berkenaan telah berjaya diselesaikan secara bersama.

Beliau berkata, perkara itu termasuk isu pengambilan guru, sekolah daif dan pembangunan, hinggalah peruntukan serta penglibatan lebih besar kerajaan negeri dalam merancang keperluan pendidikan mereka.

“Sebab itu komitmen ini mesti konsisten. Sabah dan Sarawak mesti sentiasa ada di meja, didengar suaranya dan dilibatkan dalam menentukan apa yang terbaik.

“Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana terus meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai keutamaan,” katanya.

Terdahulu, Fadhlina turut menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 yang dipengerusikan Anwar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah.

Anwar menegaskan, MA63 bukan sekadar lembaran sejarah atau dokumen yang dikenang setiap tahun, sebaliknya merupakan amanah serta iltizam nasional yang wajib dilunaskan dengan ikhlas, adil dan penuh tanggungjawab.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan juga komited membuka seluas-luasnya ruang perbincangan bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak berteraskan semangat perpaduan bagi memastikan kemakmuran negara dirasai secara adil oleh seluruh rakyat.- Bernama

Scroll to Top