Kepimpinan BERSATU Kuala Kangsar beramai-ramai tinggalkan parti

am@hmetro.com.my

Kuala Kangsar: Seramai 115 ahli termasuk sebahagian kepimpinan BERSATU Bahagian Kuala Kangsar mengumumkan keluar parti berkuat kuasa hari ini.

Tindakan peletakan jawatan itu membabitkan sembilan daripada 11 Ketua Cawangan.

Turut mengumumkan peletakan jawatan adalah Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Adly Shah Ahmad Tah; serta Bendahari Bahagian, Abdul Hadi Sabri; serta beberapa ahli jawatankuasa Bahagian.

Adly menerusi sidang media di Kelab Idris, di sini, petang tadi berkata, keputusan itu dibuat dengan penuh tekad dan pertimbangan demi memastikan perjuangan politik serta masa depan masyarakat di Kuala Kangsar dapat diteruskan melalui wadah yang lebih diyakini.

Katanya, BERSATU pada ketika ini gagal mengembangkan parti sebagaimana yang diharapkan, malah keahlian dan sokongan terhadap parti semakin mengecil.

“Selepas keputusan ini dibuat, BERSATU Bahagian Kuala Kangsar hanya akan diwakili oleh dua daripada 11 cawangan.

“Kami berpandangan keadaan ini akan memberikan kesan yang besar terhadap kekuatan serta sejauh mana relevan BERSATU dalam perjuangan politik di Kuala Kangsar,” katanya.

Katanya lagi, susulan peletakan jawatan itu, Parti Wawasan Negara (WAWASAN) dipilih dengan penuh keyakinan sebagai wadah perjuangan baharu dalam usaha memastikan agenda penyatuan rakyat dapat direalisasikan.

“Perpindahan ini bukan sekadar pertukaran wadah politik, tetapi satu langkah baharu untuk meneruskan perjuangan dengan membawa suara rakyat dan memperkukuhkan agenda perpaduan.

“Selepas ini, kami akan bersama-sama menggerakkan penubuhan WAWASAN Kuala Kangsar serta memperkukuhkan agenda Konsensus Nasional Baharu yang diangkat oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai salah satu landasan ke arah penyatuan dan kestabilan politik negara,” katanya.

Ditanya sama ada peletakan jawatan beramai-ramai itu bermakna BERSATU Kuala Kangsar terbubar secara automatik atau lumpuh, Adly Shah berkata ia tidak semestinya terbubar.

“Saya tidak boleh mengatakan ianya terbubar tetapi sembilan daripada kesemua 11 ketua cawangan bersama-sama dengan saya. Jadi hari ini kami letak jawatan serta-merta dan kita secara terang-terangan menyokong kepimpinan dan taat setia kepada Hamzah selaku Presiden WAWASAN,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top