TERBUKA Amerika Syarikat (US Open) 2026 ketika ini tampil dengan inovasi baharu apabila lampu merah pada tiang jaring digunakan sebagai isyarat visual setiap kali Sistem Panggilan Garisan Elektronik (ELC) mengesan bola keluar.
Inovasi itu melengkapkan panggilan audio ELC, sekali gus membantu pemain dan penonton mengetahui keputusan ketika suasana stadium terlalu bising.
Buat permulaan, lampu berkenaan digunakan di Stadium Arthur Ashe dan Stadium Louis Armstrong yang menjadi gelanggang utama kejohanan.
Sebaik ELC menentukan bola keluar, isyarat sama dihantar kepada peralatan gelanggang sebelum lampu pada tiang jaring berkelip merah hampir serta-merta.

Zverev mempertikai keputusan ELC di Madrid selepas bola yang dilihatnya jelas keluar diputuskan sebagai masuk. FOTO: AGENSI.
Lampu itu bagaimanapun tidak membuat keputusan, sebaliknya hanya menyampaikan keputusan ELC dalam bentuk visual.
Pengadil kerusi kekal menguruskan perlawanan, manakala sistem lampu menggunakan pencetus sama dengan panggilan audio serta petunjuk pada kerusi pengadil.
Menurut pengadil kejohanan Terbuka AS, Jake Garner, inovasi itu diperkenalkan selepas pihak penganjur mendapati panggilan audio tidak semestinya dapat didengar dengan jelas terutama ketika mata penting.
“Apabila stadium bising, panggilan elektronik tidak semestinya didengar semua pihak,” katanya.
Penggunaan ELC semakin meluas dalam tenis profesional, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada penjaga garisan manusia.
Namun, teknologi itu tidak menjamin ia bebas kontroversi apabila beberapa pemain terkemuka pernah mempersoalkan ketepatan keputusan mesin.
Elena Rybakina antara yang lantang bersuara selepas kontroversi di Terbuka Madrid April lalu ketika menentang Zheng Qinwen.
“Sistem itu salah, ini bukan lawak,” kata pemain Kazakhstan itu selepas mendakwa kesan bola di gelanggang tanah liat tidak sepadan dengan keputusan ELC.
Rybakina turut mempersoalkan keputusan pengadil yang enggan turun memeriksa kesan bola di gelanggang.
“Dengan sistem seperti ini, saya langsung tidak akan mempercayainya,” katanya.
Alexander Zverev juga pernah mempertikaikan keputusan ELC di Madrid selepas bola yang dilihatnya jelas keluar diputuskan sebagai masuk.
“Bola itu keluar jauh, langsung bukan hampir. Mereka patut mengubah peraturan itu,” kata pemain Jerman tersebut.
Kontroversi berkenaan menunjukkan cabaran teknologi bukan sekadar ketepatan keputusan, tetapi bagaimana keputusan mesin dapat dilihat, difahami dan diterima dengan segera.
Dalam aspek itu, lampu merah Terbuka AS memberikan penyelesaian mudah apabila keputusan ELC dapat dilihat tanpa pemain atau penonton perlu bergantung kepada bunyi.
Pendekatan sama turut mula digunakan di kejohanan lain, termasuk United Cup dan Terbuka Australia menerusi tiang jaring dengan lampu LED yang menyala apabila bola diputuskan keluar.
Wimbledon pula menggunakan pendekatan berbeza pada 2026 apabila papan skor di semua gelanggang memaparkan keputusan ELC seperti ‘out’ dan ‘fault’.
Perkembangan itu memperlihatkan evolusi pengadilan tenis, apabila teknologi bukan sahaja digunakan untuk membuat keputusan, malah memastikan keputusan berkenaan dapat disampaikan dengan lebih jelas kepada penonton.