Zverev buru Grand Slam kedua

New York: Alexander Zverev memerlukan 40 kejohanan Grand Slam dalam tempoh 12 musim, termasuk kekalahan memilukan dan kecederaan parah, sebelum akhirnya memenangi gelaran Grand Slam pertamanya yang dinanti-nantikan di Terbuka Perancis pada Mei lalu.

Namun, gelaran kedua mungkin hadir dalam tempoh lebih singkat buat Zverev selepas pemain itu menewaskan Karen Khachanov dari Rusia 6-3, 7-6 (7), 7-6 (6) dalam tempoh tiga jam untuk mara ke final Terbuka Amerika Syarikat (AS) di New York.

Pilihan utama itu akan membuat penampilan kedua di final Terbuka AS pada Ahad menentang pemenang pertembungan sesama pemain Amerika Syarikat antara Ben Shelton dan Frances Tiafoe.

Selepas tidak lagi dibelenggu persoalan sama ada dia mampu memenangi gelaran Grand Slam, Zverev kini perlu mengetepikan kenangan final Terbuka AS 2020 apabila dia mendahului Dominic Thiem dua set sebelum pemain Austria itu bangkit memenangi tiga set berikutnya.

“Kadangkala sesuatu perkara memihak kepada anda. Saya rasa saya sudah melalui banyak kesukaran di peringkat Grand Slam.

“Saya begitu hampir beberapa kali dan mungkin tahun ini Tuhan berkata, ‘Tahun ini akan menjadi tahun kamu dan nikmati masa ketika berada di gelanggang’, dan saya menikmatinya.

“Saya suka bermain di final besar seperti ini dan tidak sabar menunggu Ahad,” kata Zverev dalam temu bual di gelanggang selepas perlawanan.

Khachanov dan Zverev ialah pemain seangkatan yang sudah berdepan sejak peringkat junior dan keakraban itu jelas kelihatan.

Mereka lebih banyak beraksi seperti rakan latihan pada set pertama, dengan Zverev melakukan pukulan penting apabila mematahkan servis Khachanov untuk mendahului 5-3 sebelum melakukan servis untuk memenangi set.

Kebiasaannya meriah, penonton di Stadium Arthur Ashe lebih senyap pada set pembukaan apabila permainan berlangsung tanpa drama atau perubahan momentum yang ketara.

Malah ketika Zverev memulakan set kedua dengan cemerlang dan mematahkan servis Khachanov, penonton hanya mula bersorak apabila pemain Russia itu mematahkan servis Zverev untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Rali 32 pukulan pada permainan berikutnya mencetuskan antara sorakan paling kuat daripada penonton pada hari itu.

“Selepas itu, saya bermain tenis dengan jauh lebih baik dan sudah tentu saya bertambah baik sedikit kerana jika tidak, saya tidak akan berada di final Terbuka AS,” tambah Zverev.

Zverev akan beraksi di final Grand Slam ketiga berturut-turut.

Selepas menjuarai Terbuka Perancis pada Mei, dia tewas dalam final empat set kepada pemain nombor satu dunia dari Itali, Jannik Sinner, di Wimbledon pada Julai.

Secara keseluruhan, Zverev sudah tujuh kali mara ke separuh akhir Grand Slam, termasuk di Terbuka Perancis 2022 apabila dia mengalami koyakan pada ketiga-tiga ligamen buku lali kanannya ketika menentang Rafael Nadal.

Dia juga menjadi naib juara Grand Slam sebanyak empat kali, sekali dalam setiap kejohanan Grand Slam.

Zverev memiliki rekod keseluruhan 14-1 ketika berdepan Tiafoe (9-1) dan Shelton (5-0).

Satu-satunya kekalahan Zverev kepada Tiafoe berlaku pada 2017 dalam pusingan kedua Terbuka Cincinnati.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top