IPU di Sarawak 258, paras sangat tidak sihat

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sarawak kekal sebagai senarai kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi dengan IPD Serian mencatatkan bacaan sangat tidak sihat iaitu 258, setakat jam 8 pagi tadi.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), lapan lagi kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Sri Aman (196), Samarahan (196), Kuching (193), Bintulu (153), Sarikei (152), Samalaju (151), Mukah (112) dan Sibu (105).

Sementara itu, sejumlah 45 lagi kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan tahap sederhana yang membabitkan sebahagian besar daerah di Semenanjung antaranya Kota Tinggi, Johor (80), Kuala Selangor, Selangor (75), Rompin, Pahang (73), Kemaman, Terengganu (69) dan Seremban, Negeri Sembilan (58).

Sebanyak 13 daerah lain mencatatkan kualiti udara baik antaranya di Sungai Petani, Kedah (46), Seberang Jaya, Pulau Pinang (45), Kota Bharu, Kelantan (34), Kulim Hi-Tech, Kedah (30) dan Kangar, Perlis (23).

Perkembangan itu didorong oleh faktor hujan yang berlaku di beberapa kawasan berdasarkan ramalan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini.

MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di beberapa negeri iaitu di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak sehingga jam 10 pagi ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top