PETALING JAYA: Cuaca hujan sejak beberapa hari kebelakangan ini membantu menurunkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) khususnya di negeri-negeri barat Semenanjung Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, cuaca hujan berlaku ekoran tiupan angin barat daya yang bergerak lemah bersama udara lembab yang menggalakkan pembentukan banyak awan hujan di sebahagian besar kawasan Semenanjung Malaysia.
“Kehadiran cuaca hujan ini telah membantu meningkatkan kualiti udara dengan menyingkirkan sebahagian zarah pencemar sekali gus menurunkan nilai IPU di negeri-negeri barat Semenanjung,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, cuaca hujan turut dilaporkan berlaku di sebahagian Sumatera, Indonesia dan keadaan ini turut menyumbang kepada penurunan bilangan titik panas di kawasan terbabit.
Katanya, berdasarkan laporan oleh Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC), bilangan titik panas di Sumatera menunjukkan tren menurun sejak 8 September 2026 dan keadaan ini dilihat banyak membantu mengurangkan kesan jerebu di Semenanjung Malaysia.
Mohd. Hisham turut mengulas mengenai kaitan cuaca hujan tersebut dengan peralihan Monsun Barat Daya kepada fasa monsun seterusnya.
“Negara sedang berada dalam musim Monsun Barat Daya yang dijangka berakhir pada penghujung September. Sepanjang tempoh ini, cuaca lembab masih boleh berlaku dari semasa ke semasa,” katanya.
Mohd. Hisham berkata, berdasarkan analisis terkini, keadaan cuaca lembab yang berlaku sejak beberapa hari kebelakangan ini diramal akan berterusan sehingga penghujung minggu ini di kebanyakan negeri Semenanjung Malaysia.
Beliau menjangkakan keadaan akan kembali kepada keadaan kurang hujan dan panas bermula awal minggu hadapan. – UTUSAN
