mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Syed Yazid Syed Omar bukan datang dengan tangan kosong dalam persaingan merebut jawatan Naib Presiden 1 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebaliknya membawa pengalaman mengharungi sendiri liku dan cabaran pengurusan bola sepak di peringkat persatuan serta kelab.
Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) itu melihat pengalamannya menguruskan Kuala Lumpur City FC (KL City) ketika berdepan kemelut kewangan sebagai antara pengalaman paling berharga yang membentuk pendekatan kepimpinannya.
Bagi Syed Yazid, pengalaman berdepan situasi sukar mengajarnya bahawa kepimpinan bola sepak bukan sekadar bercakap mengenai visi, sebaliknya perlu berani mengambil tanggungjawab, berdepan masalah dan mencari jalan penyelesaian supaya organisasi terus bergerak.
“Saya bukan datang dengan tangan kosong. Saya datang dengan pengalaman yang saya lalui sendiri dalam bola sepak, termasuk ketika kita berdepan cabaran besar bersama KL City.
“Dalam keadaan sukar, kita perlu berani ambil tanggungjawab dan cari penyelesaian,” katanya.
Pengalaman itu turut meyakinkannya bahawa setiap masalah dalam bola sepak tidak boleh diselesaikan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama antara persatuan negeri, kelab, pemain, jurulatih, penyokong serta semua pihak berkepentingan.
“Saya banyak belajar bahawa kita tidak boleh melihat sesuatu masalah hanya dari satu sudut. Bila kita berada dalam pengurusan, setiap keputusan memberi kesan kepada ramai pihak.
“Sebab itu komunikasi, ketelusan dan kerjasama sangat penting,” katanya.
Jika diberikan mandat sebagai Naib Presiden 1, Syed Yazid mahu menggunakan pengalaman berkenaan untuk membantu memperkukuhkan tadbir urus FAM, terutama dalam aspek pengurusan kewangan, ketelusan membuat keputusan serta hubungan yang lebih rapat antara badan induk dengan ahli gabungan.
Pada masa sama, beliau mahu pembangunan bola sepak negara dilihat secara lebih menyeluruh dengan memberi ruang lebih luas kepada persatuan negeri, kelab dan bakat muda untuk berkembang, selain memastikan laluan pembangunan pemain lebih tersusun hingga ke peringkat pasukan kebangsaan.
“Kita perlu melihat bola sepak secara menyeluruh. Bukan hanya pasukan kebangsaan, tetapi pembangunan akar umbi, liga, kelab, persatuan negeri dan pemain muda.
“Kalau asas kita kukuh, barulah kita boleh membina pasukan kebangsaan yang lebih kuat dan konsisten,” katanya.
Syed Yazid turut mengambil pendekatan berbeza dalam menghadapi saingan tiga penjuru apabila bakal berdepan Datuk Seri Rosmadi Ismail dan Mohd Firdaus Mohamed bagi jawatan berkenaan pada pemilihan FAM, 17 September ini.
Beliau tidak melihat persaingan itu sebagai medan untuk menjatuhkan pencabar, malah mengakui kedua-duanya mempunyai pengalaman serta sumbangan tersendiri dalam bola sepak yang wajar dihormati.
“Saya sangat menghormati Datuk Seri Rosmadi dan saudara Firdaus. Mereka mempunyai pengalaman masing-masing dan sumbangan mereka kepada bola sepak juga tidak boleh dinafikan.
“Bagi saya, ini bukan soal siapa lebih hebat, tetapi siapa yang mendapat kepercayaan untuk berkhidmat,” katanya
© New Straits Times Press (M) Bhd
