am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
“Assalamualaikum dan selamat pagi anakanda semua. Terima kasih kerana sudi mengikuti ucapan dasar saya semalam, tidak kira anda berada di dalam negara mahupun di luar negara.
“Insya-Allah petang ini saya akan menyampaikan ucapan penggulungan. Teruskan bersama saya, di mana jua anda berada,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya, di sini, hari ini.
Semalam, beliau mencuri perhatian semua perwakilan PAU 2026 apabila berkali-kali menitipkan pesanan kepada individu yang hanya dirujuknya sebagai ‘guru’.
Tanpa menamakan sesiapa, Ahmad Zahid meminta ‘guru’ berkenaan mendengar suara UMNO, Barisan Nasional (BN) dan rakyat.
Perhimpunan PAU 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) disifatkan menjadi medan penting untuk menilai arah semasa parti dalam menghadapi perubahan politik Malaysia.
Lebih 6,400 perwakilan menghadiri persidangan utama serta perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri, manakala program pra-PAU menyentuh keilmuan Islam, pendidikan Melayu, wanita, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
Gabungan agenda tradisi dan masa hadapan ini memperlihat usaha UMNO membingkai relevansinya dalam perubahan sosial serta teknologi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
