Undian tular laluan skuad badminton lelaki negara palsu – Kenny

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Peminat badminton negara perlu bersabar sehingga 19 September ini untuk mengetahui laluan skuad lelaki Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan undian tular di media sosial ketika ini adalah palsu.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, undian bagi acara berpasukan hanya akan dilakukan ketika mesyuarat pengurus pasukan pada 19 September, sehari sebelum saingan bermula.

Katanya, perkara itu sudah dinyatakan dengan jelas dalam buku panduan Sukan Asia, sekali gus menafikan dakwaan bahawa undian lelaki berpasukan sudah dibuat seperti tersebar ketika ini.

“Ada dua acara iaitu individu dan berpasukan. Bagi acara berpasukan, undian akan dilakukan ketika mesyuarat pengurus pasukan pada 19 September.

“Perkara ini sudah dinyatakan dalam buku panduan Sukan Asia,” katanya.

Tambah Kenny, kedudukan pilihan bagi acara berpasukan hanya diterbitkan semalam, sekali gus membuktikan undian yang tular sebelum ini tidak mempunyai asas.

“Kalau anda semak, ranking (pilihan) pasukan baru diterbitkan semalam.

“Selepas acara berpasukan berakhir pada 24 September, mereka akan melakukan undian acara individu pada hari sama.

“Kita tidak boleh berbuat apa-apa mengenai perkara itu dan perlu mengabaikannya kerana pilihan pasukan yang digunakan juga salah,” katanya.

Berdasarkan senarai pilihan sebenar, Malaysia diletakkan sebagai pilihan keenam manakala Indonesia, China, Taiwan dan Jepun masing-masing berada dalam kelompok empat pilihan utama.

India pula pilihan kelima manakala Korea Selatan pilihan ketujuh.

Situasi itu menyaksikan Malaysia berpotensi bertemu salah satu daripada empat pilihan utama di peringkat suku akhir memandangkan empat pasukan berkenaan akan menerima bye pada pusingan pertama.

Bagi acara berpasukan wanita pula, China, Jepun, Korea Selatan dan Jepun disenaraikan sebagai empat pilihan utama, manakala Malaysia berada di kedudukan ketujuh di belakang Thailand dan Indonesia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top