am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: UMNO menegaskan parti itu tidak menyanggah mana-mana pihak, terutamanya Perdana Menteri, kerana resolusi Perhimpunan Agung UMNO yang menetapkan untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal perlu dihormati.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian parti itu adalah kekal komited menyokong kepimpinan sedia ada dalam pentadbiran negara.
“Kita pun tidak tahu bila akhir penggal. Jadi kita akan terus berada di dalamnya dan selama kami berada di dalamnya, memang ada perbezaan pendapat tetapi kita adalah anggota Jemaah Menteri yang profesional dan juga kepimpinan parti yang profesional.
“Tentu kita mempunyai pendirian bahawa perbezaan pendapat itu harus dihormati, begitu juga kami menghormati perbezaan pendapat yang dilontarkan oleh mereka,” katanya pada sidang media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sebarang spekulasi mengenai pendirian parti itu terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
Mengulas pandangan pelbagai isu yang dibangkitkan oleh perwakilan serta jurucakap sayap parti sepanjang PAU berlangsung, Ahmad Zahid menjelaskan, ia sekadar pandangan peribadi dan bukannya pendirian rasmi parti.
“Sebarang pendirian rasmi UMNO hanya sah sekiranya dikeluarkan secara rasmi melalui kenyataan media daripada Setiausaha Agung atau saya sendiri.
“Kita tidak membalas atau membidas mana-mana parti rakan yang mengadakan kongres atau konvensyen mereka sebelum ini.
“Jika kita boleh menghormati perbezaan pandangan mereka, mereka juga pasti boleh menghormati pandangan jurucakap sayap dan negeri-negeri kita,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengabsahkan Agenda Malaysia Biru yang dibentangkan dalam ucapan dasarnya akan dijadikan landasan utama untuk ditawarkan kepada ahli parti dan seluruh rakyat Malaysia.
Katanya, agenda mengandungi lapan teras utama itu turut diangkat sebagai elemen penting dalam penyediaan manifesto Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Ianya akan menjadi manifesto rasmi selepas kita berbincang dengan kepimpinan rakan komponen BN serta ‘Friends of BN’.
“Perkara ini tidak harus dijadikan polemik di luar oleh mana-mana penganalisis kerana ia adalah dasar serta tawaran rasmi kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
