Beri keadilan, pulih kembali pencen bekas hakim – G25

SHAH ALAM – Kerajaan digesa meneliti dan mencari kaedah yang sewajarnya mengikut undang-undang berhubung pemulihan pencen bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah Idid selepas dipaksa meletakkan jawatan, tiga dekad lalu

Kumpulan bekas penjawat awam kanan (G25) dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, tindakan tersebut bukan sekadar hak persaraan, sebaliknya membabitkan soal keadilan, akauntabiliti dan perlindungan terhadap pemberi maklumat yang berani mendedahkan salah laku badan kehakiman negara ketika itu.

“Langkah ini akan menghantar mesej yang kuat kepada penjawat awam pada masa kini dan akan datang bahawa integriti, kejujuran serta keberanian untuk bersuara menentang rasuah merupakan nilai yang dihormati dan dipertahankan oleh Malaysia.

“Sekiranya kita mengharapkan penjawat awam mempunyai keberanian untuk bersuara menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mereka mesti yakin bahawa sistem akan melindungi mereka, bukannya menghukum mereka kerana bertindak demi kepentingan awam,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Syed Ahmad Idid mendedahkan bahawa beliau tidak menerima sebarang keistimewaan sebagai penjawat awam termasuk bayaran pencen selepas dipaksa meletakkan jawatan 30 tahun lalu.

Beliau memaklumkan bahawa itu merupakan sebahagian ‘harga’ yang perlu dibayar demi integriti, berikutan tindakannya menulis sepucuk surat pada tahun 1996 bagi mendedahkan dakwaan salah laku yang melibatkan badan kehakiman di Malaysia ketika itu.

Menurut G25, pemulihan pencen bekas hakim itu juga mencerminkan persediaan kerajaan membetulkan ketidakadilan di masa lalu dan komitmen terhadap pembaharuan institusi serta keadilan.

“Harus ditekankan bahawa keadilan bukan sekadar sesuatu yang perlu disebut sebagai prinsip, tetapi mesti diterjemahkan melalui tindakan,” menurut kenyataan itu.

 

Scroll to Top