KANGAR: Suasana tenang di Jalan Seruling di sini bertukar meriah dengan lebih 1,000 penunggang motosikal berkuasa tinggi berkumpul bersempena Seruling Road Bike Meet 2026.
Program tersebut dianjurkan komuniti motosikal berkuasa tinggi Jalan Seruling dengan kerjasama Unit Komunikasi Integrasi dan Strategik Pejabat Menteri Besar Perlis (UKIS).
Penaung komuniti Seruling, Senator Azahar Hassan berkata, penganjuran memasuki edisi kedua itu berlangsung lebih meriah dengan penyertaan komuniti motosikal bukan sahaja dari Perlis malah seluruh negara termasuk Singapura dan Thailand yang datang ke negeri ini.
Katanya, program berkenaan menjadi medium komuniti motosikal berkuasa tinggi berkumpul dan terus mengeratkan hubungan silatulrahim.
Beliau berkata, selain motosikal berkuasa tinggi, semua penunggang pelbagai jenis motosikal juga berkumpul dalam suasana yang cukup meriah.
“Kita pilih lokasi Jalan Seruling ini kerana ‘vibe’ di kawasan itu seolah-olah seperti berada di Hatyai dan suasana begitu mengujakan.
“Sambutan yang diterima cukup hebat dan kita akan meneruskan program ini setiap tahun,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di sini malam tadi.

Seruling Road Bike Meet 2026 di Jalan Seruling, Kangar, Perlis malam tadi.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Perasmian Seruling Road Bike Meet 2026 disempurnakan Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan dan hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) negeri, Mohammad Faidzul Awang Bakar.-UTUSAN
