'Saya tidak pernah minta, tuntut, tetap jumlah RM10.5 juta daripada Kerajaan Malaysia' – Syed Ahmad Idid

nurul_husna@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah Idid, mengesahkan bahawa beliau tidak pernah meminta, menuntut atau menetapkan sebarang jumlah pampasan berjumlah RM10.5 juta daripada Kerajaan Malaysia berkaitan peletakan jawatannya kira-kira 30 tahun lalu.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu bagi memperbetulkan kekeliruan berhubung dakwaan tuntutan berkenaan menerusi satu surat kepada Presiden Badan Peguam Malaysia (Malaysian Bar) Anand Raj, hari ini.

​Syed Ahmad Idid juga menzahirkan penghargaan mendalam kepada Badan Peguam Malaysia atas ketegasan mereka mempertahankan kebebasan dan integriti badan kehakiman menerusi kenyataan media bertajuk ‘The Judiciary Must Be, and Remain, Steadfast in Upholding the Rule of Law and Incorruptible’ yang dikeluarkan semalam.

​Beliau menjelaskan, angka RM10.5 juta yang dikaitkan dengannya dalam beberapa laporan baru-baru ini merujuk kepada keadaan hakim-hakim lain yang terjejas akibat krisis kehakiman 1988.

​”Keadaan terbabit secara materialnya berbeza daripada kes saya. Oleh itu, saya menganggap tidak wajar kes saya disamakan dengan kes mereka berdasarkan jumlah berkenaan.

​”Di pihak saya, saya tidak pernah meminta, menuntut atau menetapkan jumlah RM10.5 juta, mahupun mencadangkan apa-apa jumlah khusus sebagai pampasan daripada kerajaan,” katanya.

​Mengulas lanjut, beliau menegaskan isu peletakan jawatannya bukan sekadar perkara peribadi, pencen atau pampasan kewangan.

Sebaliknya membabitkan persoalan prinsip undang-undang dan perlembagaan berhubung cara serta tatacara peletakan jawatan seorang Hakim Mahkamah Tinggi.

​”Hasrat dan keutamaan saya sentiasa mengatasi kepentingan peribadi. Badan Kehakiman yang bebas bergantung kepada hakim yang dapat menjalankan tanggungjawab perlembagaan mereka dengan penuh integriti tanpa rasa takut atau berpihak.

​”Sesiapa yang membangkitkan kebimbangan berasaskan kebenaran mengenai salah laku dalam institusi kita tidak sepatutnya dihukum, sebaliknya dilindungi,” katanya.

​Beliau berharap agar pengalaman dan peristiwa yang berlaku terhadapnya tiga dekad lalu dapat menyumbang secara positif kepada pengukuhan institusi kehakiman untuk generasi akan datang.

​Untuk rekod, Syed Ahmad Idid meletak jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1996 selepas mendedahkan dakwaan salah laku dan rasuah dalam badan kehakiman menerusi satu surat layang yang mengandungi 112 tuduhan berkaitan salah laku hakim-hakim tertentu ketika itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top