MB Negeri Sembilan: Ada beberapa isu lagi, namun itu boleh diselesaikan – Ahmad Zahid

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim didakwa dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan akan dapat diselesaikan.

“Ada beberapa isu lagi, saya rasa. Namun, isu-isu itu boleh diselesaikan,” katanya pada sidang media selepas penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan Ismail kelmarin bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Pada 9 September lalu, Ismail menjelaskan Surat Cara Proklamasi yang tular menerusi kenyataan media sebelum ini ditandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan.

Beliau juga memaklumkan sudah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top