Agenda Malaysia Biru jadi elemen utama manifesto BN – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Agenda Malaysia Biru akan dijadikan landasan utama untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia, selain menjadi elemen utama dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, agenda berkenaan yang dibentangkan ketika ucapan dasar beliau pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 akan menjadi sandaran pelaksanaan parti.

“Saya ingin mengabsahkan bahawa Agenda Malaysia Biru yang telah saya bentangkan ketika ucapan dasar itu, kita jadikan ini sebagai landasan utama untuk kita tawarkan kepada bukan hanya ahli-ahli tetapi kepada rakyat Malaysia keseluruhannya untuk kami berazam bagi jadikan sandaran pelaksanaannya.

“Untuk manifesto BN, kita akan masukkan ini sebagai elemen utama dan ia akan menjadi manifesto rasmi setelah kita berbincang dengan kepimpinan rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas ucapan penggulungan PAU 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Pada Jumaat, UMNO menggariskan lapan ikhtiar utama menerusi Agenda Malaysia Biru sebagai tawaran baharu sekiranya parti itu bersama Barisan Nasional (BN) kembali menerajui Putrajaya.

Lapan ikhtiar itu merangkumi Malaysia sebagai Negara Pencipta, Negara Berkemahiran, Negara Pemilik, Negara Sejahtera, Negara Berdaya Tahan, Negara Peduli, Negara Beramanah dan Negara Berdaulat.

Menurut Ahmad Zahid, perkara berkenaan akan disahkan selepas proses penyediaan manifesto terbabit dilakukan sepenuhnya.

Justeru, beliau menegaskan, pendirian UMNO terhadap Agenda Malaysia Biru itu jelas dan tidak seharusnya menjadi bahan polemik di luar parti.

“Saya fikir ia tidak harus dijadikan sebagai satu polemik di luar oleh mana-mana para penganalisis sebab itu adalah dasar kami dan tawaran kami yang kami garis melalui lapan agenda besar di dalam Agenda Malaysia Biru yang telah saya sebutkan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO boleh menghormati perbezaan pandangan yang dikemukakan ketika kongres atau konvensyen parti lain, justeru perkara sama perlu diberikan terhadap pandangan yang disuarakan dalam perbahasan UMNO.

“Bagi kita pendiriannya ialah, jika kita boleh menghormati perbezaan pandangan ketika kongres dan konvensyen itu diadakan, maka mereka juga pasti boleh menghormati perbezaan pandangan,” ujarnya.

Scroll to Top