Zahid usik Noraini kelihatan semakin kurus

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengusik Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang disifatkan beliau kelihatan semakin kurus.

Ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini, Presiden UMNO itu meminta Noraini supaya melebihkan makanannya supaya kelihatan lebih kuat.

Ahmad Zahid juga sempat bertanyakan Noraini, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, sama ada beliau ada mengambil apa-apa suntikan hingga kelihatan sebegitu kurus.

“Daripada macam ini, jadi macam ini (sambil membuat perbandingan antara ibu jari dan jari kelingking). Ada cucuk-cucuk ke? Tak Ozempic ke Mounjaro (merujuk suntikan yang boleh menurunkan berat badan).

“Sebenarnya, saya cuba (suntikan). Itu sebab saya tahu. Saya cuba Ozempic, Mounjaro, Reta (Retatrutide).

“Bukan saya nak, Kak Midah yang suruh (merujuk isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis). Tak turun-turun pun (berat badan), tidak ada,” katanya.

Sejak kelmarin, penampilan Noraini di PAU 2026 menjadi perhatian, termasuk di media sosial kerana dilihat lebih kurus, berbanding sebelum ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top