syazrina@hmetro.com.my
Bayangkan situasi berada di sebuah lembah apabila tiba-tiba dinding air, lumpur, batu dan ais datang menerjah dengan kelajuan luar biasa dan menghanyutkan segala-galanya dalam masa beberapa saat.
Itulah berlaku di sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos 2026 apabila satu kejadian luar biasa di kawasan pergunungan Himalaya mencetuskan banjir kilat dahsyat yang setakat 11 September lalu jam 8 pagi meragut 1,420 nyawa.
Menurut CNN, pada awalnya, gegaran kuat yang berlaku pada jam 8.37 pagi menyebabkan kejadian itu disangka gempa bumi, namun kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) kemudian menjelaskan gegaran bermagnitud 5.2 itu sebenarnya berpunca daripada runtuhan batu dan ais glasier.
Difahamkan, imej satelit sebelum dan selepas kejadian menunjukkan sebahagian besar bongkah glasier di kawasan tinggi berhampiran Langtang Lirung terpisah dari lereng gunung sebelum menghempas ke lembah kira-kira 1,200 meter (m) di bawahnya.
Pakar glasier dari University of Dundee, Dr Simon Cook memberitahu BBC, bahagian bawah glasier berhampiran puncak Langtang Lirung itu runtuh sebelum bergerak mengikut aliran sungai.
Analisis International Centre for Integrated Mountain Development (ICIMOD) pula menunjukkan kemungkinan berlaku ‘runtuhan ais batu yang berasal dari kawasan altitud tinggi’, menyebabkan sejumlah besar ais dan batu memasuki Lende Khola, anak sungai kepada Bhote Koshi.
Bayangkan bongkah ais dan batu dalam jumlah yang sangat besar jatuh ke sungai, lalu menghasilkan lonjakan air yang membawa bersama mendapan, lumpur dan batu besar menuju ke kawasan hilir.
Pakar sains bumi dari University of Oxford, Profesor Mike Searle berkata, keseluruhan proses daripada tanah runtuh sehingga menjadi banjir mungkin mengambil masa beberapa jam atau bahkan beberapa hari.
“Gelombang serpihan yang begitu besar menunjukkan kemungkinan berlaku tanah runtuh terlebih dahulu, air terkumpul, membendung sungai dan kemudian empangan itu pecah dalam satu banjir besar,” katanya kepada BBC.
Teori itu menjelaskan bagaimana air yang pada mulanya tersekat di belakang timbunan batu dan ais boleh berubah menjadi dinding air yang meluru ke kawasan hilir apabila sekatan berkenaan pecah.
Kesan runtuhan itu juga luar biasa kerana kekuatannya menyebabkan gegaran yang direkodkan bersamaan tenaga gempa bumi bermagnitud 5.2, manakala gelombang banjir bergerak melalui sistem sungai Lende Khola, Bhote Koshi dan Trishuli.
Dalam pada itu, saintis kanan di Planetary Science Institute, Jeffrey Kargel berkata, gelombang yang terdiri daripada air, ais yang dihancurkan dan batu itu bergerak sejauh 22 kilometer (km) pertama pada kelajuan purata 193 kilometer sejam (km/j).
Menurut CNN, kelajuan itu bermakna gelombang berkenaan mampu bergerak hampir 14 batu hanya dalam tempoh enam minit 50 saat, sekali gus menjelaskan mengapa penduduk di kawasan hilir mempunyai masa yang amat singkat untuk menyelamatkan diri.
Seorang lagi ahli hidrologi dari University of Texas, San Antonio, Hatim Sharif berkata, di beberapa kawasan, campuran air, lumpur dan serpihan bergerak seperti ‘konkrit cecair’ yang sukar dielakkan dengan berlari.
Namun, jumlah air yang begitu besar masih menjadi persoalan saintis kerana jumlah ais yang runtuh dipercayai tidak mencukupi untuk menghasilkan banjir sebesar itu.
Susulan itu, pakar bumi, alam sekitar dan kelestarian dari University of Dayton, prof Umesh Haritashya menjelaskan, satu kemungkinan adalah batu dan ais jatuh itu membendung lembah buat sementara waktu sebelum sekatan berkenaan pecah dan melepaskan air yang terkumpul secara tiba-tiba.
Katanya, bencana itu juga belum berakhir kerana dalam tempoh sehari, sebuah tasik penghalang baharu yang mengandungi beberapa juta meter padu air terbentuk di sebalik serpihan runtuhan di kawasan pertemuan dua sungai di Tibet.
“Pada 28 Ogos, tasik penghalang itu pecah tebing menyebabkan paras sungai meningkat semula, namun keadaan menjadi reda apabila air mengalir keluar secara beransur dan tidak pecah sekali gus.
“Empangan sementara daripada serpihan boleh terbentuk dalam beberapa minit, bertahan selama beberapa jam atau hari dan kemudian pecah dengan sedikit atau tanpa amaran, menjadikan kawasan pergunungan lebih sukar dipantau,” katanya.
Persoalannya, mengapa kejadian seperti ini semakin membimbangkan sedangkan glasier dan gunung di Himalaya sudah wujud selama ribuan tahun?
Jawapannya, mungkin berkait dengan perubahan iklim apabila peningkatan suhu menyebabkan glasier mengecil, salji mencair dan permafrost yang selama ini membantu mengukuhkan cerun gunung mula mencair.
Permafrost boleh diibaratkan seperti simen semula jadi apabila ais memenuhi rekahan batu, namun apabila suhu meningkat dan ais itu mencair, ‘gam’ itu menjadi lemah sehingga cerun yang stabil selama ribuan tahun boleh kehilangan kestabilannya.
Pakar merumuskan, apabila planet semakin panas, lebih banyak glasier mengecut dan salji mencair, manakala permafrost yang membantu mengekalkan kestabilan sesetengah lereng gunung menjadi panas, mencair dan mengalami kemerosotan.
Risiko itu bukan hanya berlaku di Nepal kerana kejadian di Uttarakhand, India pada 2021, Sikkim, India pada 2023 dan Alps Switzerland pada 2025 turut menunjukkan bagaimana runtuhan ais, batu, pencairan permafrost dan air boleh bergabung menghasilkan bencana besar, sekali gus memberi amaran bahawa Himalaya yang semakin panas mungkin bukan lagi gunung yang sama seperti dahulu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
