Pelajar cemerlang STPM buntu fikir yuran lanjut pengajian

am@hmetro.com.my

Tumpat: Tiga kali gagal menempatkan diri dalam pemilihan perajurit tidak mematahkan semangat Siti Farah Damia Mohd Khairi, 20, untuk terus menggapai impiannya bergelar pegawai tentera.

Tawaran melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membuka laluan luas buat pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.67 itu untuk mengejar cita-cita.

Namun, kekangan kewangan membuatkan Siti Farah buntu untuk menjelaskan yuran pendaftaran RM2,549 memandangkan tarikh pendaftaran pada 20 September semakin hampir.

Menurut anak tunggal yang juga kematian bapa sejak dirinya berusia 11 bulan itu, buat masa ini ibunya, Ros Ayu Mat Ail, 44, hanya mampu menyediakan RM1,000 sahaja.

“Bukan sahaja yuran pengajian, pada hari pendaftaran nanti juga saya perlu menyediakan pakaian khas dan kelengkapan lain. Semua itu belum dapat disediakan lagi,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Talak, di sini.

Siti Farah berkata, setakat ini hanya pakaian harian dan kelengkapan diri yang mampu disediakan manakala komputer riba ketika belajar di Tingkatan Enam masih boleh digunakan.

Dibesarkan tanpa bapa mengajar remaja itu menjadi kuat dan hasratnya sangat besar iaitu ingin membalas jasa ibu serta neneknya, Siti Fatimah Omar, 75 yang semakin uzur.

Disebabkan itu, dia sentiasa menghadiri temu duga jika mengetahui ada panggilan dalam bidang tentera terutama tentera udara yang menjadi minatnya sejak sekian lama.

“Saya pernah menerima tiga panggilan temu duga iaitu kali pertama, saya hanya berjaya sehingga peringkat awal sahaja dan kali kedua pula tarikhnya bertembung dengan peperiksaan semester dua Tingkatan Enam.

“Panggilan ketiga pula untuk tentera laut dan alasan kegagalan saya disebabkan faktor fizikal namun tiga kali kegagalan ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencuba.

“Buat masa sekarang saya hanya mampu berdoa supaya ada rezeki untuk saya melanjutkan pengajian memandangkan ibu hanya menjual barangan kraftangan bagi menyara saya dan nenek,” katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Siti Farah Damia di talian 01160609901 atau menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank CIMB 7657038990.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top