Tidak gentar siasat VVIP

LAPORAN Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) menarik perhatian ramai, lebih-lebih lagi apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menjalankan siasatan berhubung isu yang berkaitan membabitkan pertuduhan ke atas orang kenamaan.

Persoalannya, sejauh mana siasatan itu mampu merungkai segala persoalan mengenai pengurusan, keputusan pelaburan dan kemungkinan berlaku ketirisan atau salah guna kuasa yang akhirnya memberi kesan kepada kepentingan pendeposit.

Wartawan Harian Metro, MUHAAMAD HAFIS NAWAWI mendapatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM DATUK SERI ABD HALIM AMAN untuk mengulas isu berkaitan.

Tangkapan beberapa individu termasuk pengurusan tertinggi TH oleh SPRM menimbulkan persepsi kononnya ada arahan ‘atasan’ dan bermotif politik. Boleh Datuk Seri ulas berkaitan dakwaan ini?

Ingin saya tegaskan pendirian SPRM adalah jelas, untuk terus menjalankan siasatan secara adil, telus dan berani tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mana-mana pihak.

Prinsipnya mudah, siasat tanpa rasa takut atau pilih kasih (without fear or favour) terus menjadi pegangan SPRM bagi memastikan setiap siasatan dilaksanakan secara profesional tanpa tekanan atau rasa takut.

Pendirian itu penting bagi mempertahankan integriti, imej dan wibawa SPRM sebagai agensi penguatkuasaan antirasuah negara, selain memastikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi itu tidak terhakis.

SPRM perlu bertindak sebagai sebuah entiti yang berani dan bebas daripada sebarang tekanan atau rasa takut.

Setiap siasatan dijalankan secara adil dan telus tanpa melepaskan mana-mana pihak yang terbabit, sekali gus mempertahankan keutuhan organisasi supaya tidak tercemar.

Seperti yang sedia maklum laporan RCI ini sudah lama siap dan hanya baru didedahkan baru-baru ini, malah SPRM sendiri juga sudah menjalankan siasatan sebelum ini dan kenapa baru sekarang ada tangkapan besar-besaran. Adakah sebelum ini tidak cukup bukti dan baru menemui bukti baru?

Penahanan oleh SPRM terhadap beberapa kenamaan dan VVIP susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) tidak dilakukan secara semberono hanya berdasarkan kes-kes lama.

Malah satu jawatankuasa dilantik bukan sekadar meneliti laporan berkenaan malah siasatan terhadap isu TH yang pernah dijalankan SPRM.

Pegawai siasatan yang dilantik juga diberi arahan untuk menyiasat berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima sahaja dan ia dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan sahaja.

Di peringkat SPRM, saya menubuhkan satu jawatankuasa iaitu bagi meneliti IP-IP (kertas siasatan) baharu, ataupun kertas siasatan lama yang tidak berkeputusan.

Terdapat kertas siasatan yang sudah dibuka sebelum ini tetapi setakat hari ini (siasatan berlangsung) ia pending… tiada keputusan dibuat.

Jadi jawatankuasa ini akan menyaring dan meneliti kedudukan kertas siasatan (lama) itu termasuk yang belum mempunyai keputusan. Keputusan sama ada wajarkah ia dibuka semula akan dilakukan.

Setakat ini di tahap mana siasatan membabitkan isu RCI Tabung Haji ini dijalankan dan bagaimana dengan pertuduhan?

Seperti saya beritahu, SPRM menubuhkan pasukan khas pada 31 Julai lalu bagi menyemak dan meneliti hasil RCI TH yang diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar.

Siasatan yang dijalankan memberi fokus kepada Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan AMLATFPUAA 2001( Akta 613).

Bagi siasatan di peringkat awal, sebanyak enam isu yang dibangkitkan dalam Laporan RCI terbabit iaitu dakwaan rasuah dalam pembelian Ladang Weida (M) Berhad oleh TH Plantation (anak syarikat LTH), dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam penyewaan Restoran Opah di KL Sentral, dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam penyewaan Restoran Nasi Dalca di Lantai 2, Bangunan Ibu Pejabat LTH, dakwaan penyelewengan dan rasuah oleh mantan Ketua Pegawai Operasi LTH dalam melakukan pengubahsuaian rumah dan pejabat, dakwaan pemalsuan dokumen pembekalan rubber seedlings TH Plantation di Ladang TH-Usia Jatimas di Sandakan, dan dakwaan salah laku dan penyelewengan pegawai THP Bina Sdn Bhd dan THP Timur Sdn Bhd, kedua-duanya anak syarikat TH Properties Sdn Bhd.

Daripada enam isu awal itu, sebanyak enam kertas siasatan dibuka serta dilaksanakan beberapa tindakan seperti tangkapan, reman, rakam percakapan saksi serta pemeriksaan di premis yang terbabit.

Bagi enam isu yang disiasat ini tujuh individu ditangkap. Seramai 115 orang saksi dipanggil bagi membantu siasatan untuk enam buah kertas siasatan ini.

Keenam-enam kertas siasatan ini sudah lengkap dan dihantar untuk kajian Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada 21 dan 28 Ogos lalu di mana daripada itu dua kertas dilakukan pertuduhan.

Bagi baki empat kertas siasatan yang lain tiada sebarang cadangan pertuduhan dibuat dan ia diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Selain enam isu yang dibangkit dalam Laporan RCI, Pasukan Khas ini turut melihat lapan isu lain yang dikenal pasti.

Sebanyak lapan kertas siasatan dibuka pada 10 Ogos lalu dan kebanyakannya membabitkan isu pelaburan yang bermasalah dan kini masih dalam siasatan.

Daripada lapan kertas siasatan yang dibuka itu, 11 orang ditahan termasuklah bekas menteri.

Jadi secara keseluruhan, sebanyak 14 kertas siasatan dibuka oleh Pasukan Khas Siasatan Laporan RCI ini.

Seramai 18 individu ditangkap dan 11 orang telah ditahan reman dengan seramai 245 saksi dipanggil bagi membantu siasatan ini.

Berkaitan isu RCI Tabung Haji, SPRM juga menjadi sasaran kononnya menjadi alat politik. Bagaimana SPRM menepis tanggapan ini?

Siasatan masih berjalan dan saya mohon semua pihak dapat memberi ruang dan sokongan kepada SPRM dalam kami melaksanakan siasatan ini secara bebas dan adil.

Dalam tempoh terdekat ini. kita akan lihat sama ada jawatankuasa yang dilantik memberi keputusan untuk tindakan selanjutnya termasuk pertuduhan di mahkamah. Jika tiada pertuduhan, maka tiadalah.

Saya tegaskan pendirian SPRM adalah jelas, kami menjalankan siasatan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak dan bukan sebagai alat politik.

Kita menjalankan siasatan secara adil, telus dan berani atau pilih kasih bagi memastikan setiap siasatan dilaksanakan secara profesional tanpa tekanan atau rasa takut.

Isu reman pemakaian baju oren hangat diperkatakan susulan tangkapan ramai VVIP termasuk menteri membabitkan isu TH ini, sehingga Perdana Menteri turut meminta menghentikan amalan itu. Boleh Datuk Seri ulas berkaitan isu ini?

Seperti semua sedia maklum, SPRM mendengar saranan Perdana Menteri itu dan kita juga sudah menggantung pemakaian baju oren terhadap Orang Kena Siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman, berkuat kuasa serta-merta.

Saya juga ingin tegaskan penggantungan serta- merta itu tertakluk kepada semua tanpa mengira status individu terbabit.

Peraturan itu terpakai untuk semua termasuk ahli politik tanpa mengira status individu terbabit.

Orang yang disiasat akan dibenarkan memakai pakaian sendiri apabila dibawa ke mahkamah, manakala pakaian lokap hanya akan dipakai sepanjang tempoh mereka ditahan di dalam lokap.

Bagi pemakaian gari pula adalah bergantung kepada keadaan tertentu dan dikecualikan kepada OKS yang uzur, Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak dan warga emas.

SPRM akan terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan kawalan keselamatan dilaksanakan sewajarnya dalam setiap proses pengendalian OKS.

Kita juga kekal komited bagi memastikan setiap tindakan yang diambil dalam pengendalian OKS dilaksanakan secara profesional, berintegriti, berhemah dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top