Noraniza Idris sahut cabaran Rizman Ruzaini turun berat badan

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris menyahut cabaran daripada pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini untuk menurunkan berat badan kepada 65 kilogram (kg) sempena Konsert Gema Bumantara Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 17 Oktober depan.

Menurut Noraniza, 58, dia perlu menurunkan berat badannya sebanyak enam kg lagi memandangkan berat badannya kini adalah 71 kg.

“Sekarang ini, saya memang tengah mengejar challenge (cabaran) daripada Rizman Ruzaini. Dia nak saya turun berat badan sampai 65 kg atau pun kurang daripada itu.

“Saya rasa satu bulan ini sempat. Kalau mungkin (sempat) saya akan menang challenge (cabaran) itu sampai 17 Oktober nanti, insya-Allah,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Noraniza turut berkata, cabaran berkenaan dibuat kerana pereka fesyen berkenaan mahu membuat busananya yang memerlukan berat badan sekitar 65 kg.

“Rizman Ruzaini nak buat baju untuk saya mengikut saiz 65 kg. Kalau berat badan saya lebih, tak muatlah baju. Jadi saya anggap ia sebagai satu cabaran.

“Maknanya mereka memotivasikan saya pula macam mana nak jaga makan. Sebab saya jenis yang suka langgar pantang larang makanan,” katanya lagi.

Tambah pelantun lagu Dikir Puteri ini, dia kini lebih mengutamakan pemakanan sihat dengan mengambil protein tinggi berbanding karbohidrat, selain mendapatkan pandangan doktor dalam aspek pemakanan harian.

“Kadang-kadang doktor memang utamakan protein lebih daripada karbohidrat. Kadang-kadang kita susah bila berada di luar ini, kita akan tercari makanan yang ada karbohidrat juga kan?

“Jadi, sekarang ini saya lebih utamakan cari makanan-makanan sihatlah macam protein tinggi, baru saya akan pilih makanan karbohidrat. Itu pun kalau ada pun sikit, tak banyak. Jadi, ia menyumbang balik kepada kita penurunan berat badan,” kongsinya.

Berkongsi mengenai debaran Konsert Gema Bumantara Datuk Seri Siti Norhaliza, Noraniza mengakui konsert berskala besar itu memberikan impak mendalam terhadap emosinya sejak awal lagi.

“Persediaan saya memang bila kita sebut pasal konsert Tradisional Gema Bumantara ni, ‘vibes’ dia sangat besar.

“Automatik kita terasa sampai sekarang dia punya debaran. Jadi apa yang saya buat, saya kena bersedia dari segi persiapan mental dan fizikal,” ujarnya.

Bagi memastikan persembahannya berada di tahap optimum, Noraniza turut menjalankan latihan kecergasan dan vokal secara intensif di bawah bimbingan guru-guru vokal yang berpengalaman.

“Saya ada sertai kelas kecergasan apabila anak saya, dia jadi personal trainer (jurulatih peribadi) saya dua kali seminggu. Saya pun mula sertai kelas kelas vokal tradisional.

“Walaupun saya penyanyi lagu irama Malaysia, tapi saya masih memerlukan tunjuk ajar juga daripada guru-guru yang diiktiraf.

“Mereka membantu bukan hanya dari segi teknikal sahaja, tetapi mereka pun ajar macam mana kita nak melantunkan lagu-lagu irama tradisional dalam sebuah lagu,” katanya.

Selain Noraniza, Konsert Gema Bumantara Datuk Seri Siti Nurhaliza turut membariskan artis jemputan lain termasuk Haziq Rosebi, Lesti Kejora dan King Nassar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top