KOTA KINABALU – Lebih 70 kerusi Parlimen diperlukan untuk mewakili satu pertiga daripada keseluruhan 222 kerusi Dewan Rakyat sekiranya berdasarkan komposisi sedia ada ketika ini.
Bekas Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berpandangan, jumlah itu bagaimanapun masih perlu diperincikan terutama mengambil kira cadangan penambahan kerusi Parlimen yang turut melibatkan Semenanjung.
“Kalau sekarang ini 222, ertinya kalau satu pertiga itu lebih kurang 70 hingga 80 kerusi, kalau mengikut 222 kerusi yang ada sekarang.
“Mungkin daerah-daerah yang ada boleh dibahagi-bahagikan lagi dan diberikan keutamaan kerusi Parlimen, tetapi kena dikaji dan dilihat lagi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Malam Apresiasi Media di sini pada malam Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keperluan penambahan kerusi Parlimen susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai usaha meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak.
Azizah berkata, beliau mengalu-alukan keputusan kerajaan berhubung penambahan kerusi berkenaan dan berharap usaha itu dapat direalisasikan secepat mungkin selepas melalui proses serta prosedur yang ditetapkan.
“Kita mengalu-alukan apa yang disebut oleh Perdana Menteri berkenaan keputusan Kabinet untuk menambah kerusi bagi Sabah dan Sarawak dan harapan saya supaya ia menjadi satu kenyataan dalam masa yang secepat mungkin.
“Tentu ia akan melalui banyak prosedur lagi, mungkin pindaan-pindaan Perlembagaan dan sebagainya. Ia kena melalui Parlimen, jadi memang akan ada masa yang diperlukan,” katanya.
Diminta mengulas lanjut keperluan penambahan perwakilan itu, Azizah yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun sebagai Ahli Parlimen di Sabah berkata, langkah berkenaan penting terutama bagi memastikan suara penduduk di kawasan terpencil dapat dibawa secara lebih berkesan ke Dewan Rakyat.
“Memang besar keperluannya kerana kita perlu membawa suara-suara dari kawasan berkenaan. Kalau kita tidak tahu tempat itu, kita tidak tahu sebenarnya apa masalah yang mereka hadapi.
“Kalau ada wakil rakyat masing-masing di tempat-tempat itu, daerah-daerah tertentu, mereka akan membawa masalah ini ke Dewan Parlimen. Jadi, ia akan dapat diberikan perhatian dengan lebih khusus,” katanya.
Menurutnya, keadaan dan masalah yang dihadapi di setiap kawasan juga berbeza dan tidak boleh ditangani menggunakan pendekatan yang sama.
Justeru katanya, wakil rakyat yang memahami sendiri keperluan penduduk setempat penting dalam memastikan isu mereka mendapat perhatian yang sewajarnya.
“Kita bukan mahu menyalahkan sesiapa, tetapi sudah tiba masanya perkara ini diberikan perhatian dengan lebih ramai wakil rakyat mewakili daerah-daerah, khususnya daerah yang terpencil.
“Supaya masalah itu datang bukan saja setakat bercakap di mulut tetapi datang daripada jiwa mereka. Mereka yang mengetahui masalah itu, mereka dapat menyampaikan dengan lebih berkesan dan ini dapat diberi perhatian oleh pihak kerajaan,” katanya.
Jumaat lalu, Anwar mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menambah kerusi Parlimen dengan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak perlu lebih tinggi, manakala penentuan jumlah serta persempadanan kerusi tertakluk kepada proses berkaitan termasuk peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).