Suspek lari dengan bot, tinggalkan dadah 'piu piu' bernilai RM160,000

jashadiqe@nst.com.my

Batu Pahat: Seorang lelaki melarikan diri menggunakan bot gentian kaca dan meninggalkan lebih 600 katrij vape cecair disyaki dadah jenis ‘piu piu’ bernilai RM160,000 di kawasan pesisir pantai Senggarang, di sini, 5 September lalu.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, suspek dipercayai dalam perjalanan mengambil dadah berkenaan yang disembunyikan di tepi pantai sebelum menyedari kehadiran bot rondaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, anggotanya mengesan bot yang dinaiki suspek bergerak dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan pemantauan rutin di perairan berkenaan.

“Sebaik menyedari kehadiran bot rondaan penguat kuasa, suspek terus memecut bot gentian kaca yang dinaikinya ke arah laut untuk meloloskan diri.

“Pemeriksaan susulan yang dilakukan anggota di sepanjang kawasan pesisir pantai berhampiran kemudiannya menemukan sebuah beg berwarna hitam yang ditinggalkan,” katanya ketika dihubungi.

Mohammad Zaini berkata, hasil pemeriksaan ke atas beg berkenaan membawa kepada penemuan lebih 600 katrij vape mengandungi cecair disyaki kanabinoid sintetik atau lebih dikenali dengan istilah jalanan ‘piu piu’.

“Semua barangan rampasan yang dianggarkan bernilai RM160,000 itu dibawa ke Pejabat Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

“Sampel cecair vape berkenaan juga sudah dihantar ke makmal bagi ujian analisis kandungan dadah,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan orang ramai serta komuniti maritim digesa menyalurkan sebarang maklumat berhubung aktiviti jenayah di perairan negara kepada pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top