‘Tak perlu sibuk masa depan UMNO, baiki parti sendiri’ – UMNO Kedah

ALOR SETAR – UMNO Kedah menempelak Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar yang mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan membawa UMNO serta Barisan Nasional (BN) keluar daripada Kerajaan Madani.

Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, Mahfuz sepatutnya tidak sibuk menentukan masa depan UMNO sebaliknya memberi tumpuan memperkukuhkan parti sendiri.

“Tak perlu sibuk menentukan masa depan UMNO. Baiki dahulu parti sendiri.

“Mahfuz juga lebih baik bertanya kepada kepimpinan Amanah sendiri, kenapa gagasan ‘Rahmatan lil ‘Alamin’ ala Amanah masih gagal meyakinkan majoriti orang Melayu?” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media mengenai kenyataan Mahfuz yang mencabar Ahmad Zahid meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan membawa UMNO serta BN keluar daripada Kerajaan Madani sekiranya tidak lagi yakin dengan dasar serta kepimpinan kerajaan.

Syed Mohd Johan Rizal yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, UMNO tidak perlu keluar daripada kerajaan hanya kerana wujud kritikan terhadap kepimpinan atau dasar kerajaan.

Menurutnya, parti itu merupakan sebahagian daripada komponen yang membolehkan Kerajaan Perpaduan dibentuk dan terus stabil.

“Kerajaan hari ini berdiri atas sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen. UMNO dan BN adalah sebahagian daripada angka yang membolehkan kerajaan ini dibentuk dan terus stabil.

“Kerajaan Perpaduan bukan milik mana-mana satu parti. UMNO sebenarnya bukan menumpang walaupun dilayan seperti penumpang,” ujarnya.

Tambahnya, penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan dibuat atas semangat titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya parti-parti bekerjasama demi kestabilan negara.

Bagaimanapun, Syed Mohd Johan Rizal menegaskan perkara itu tidak bermakna UMNO perlu menyerahkan identiti, maruah dan hak untuk bersuara apabila berada dalam kerajaan.

“Kerjasama bukan bermaksud mesti mengangguk dalam semua perkara. Kalau ada dasar yang membebankan rakyat atau persefahaman yang tidak dihormati, UMNO berhak menegur.

“Menegur bukan mahu menjatuhkan kerajaan. Kadang-kadang teguran itulah yang menyelamatkan kerajaan daripada terus melakukan kesilapan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mencabar pihak yang mempertikaikan kedudukan UMNO dalam kerajaan supaya tidak hanya meminta parti berkenaan keluar, sebaliknya mengambil tindakan untuk menguji kekuatan sebenar kerajaan di Dewan Rakyat.

Menurutnya, UMNO tidak wajar dianggap sebagai rakan ketika kerajaan memerlukan sokongan, namun diketepikan apabila parti itu bersuara mempertahankan kepentingan rakyat.

“Jangan waktu perlukan angka, UMNO dianggap rakan. Apabila UMNO bersuara mempertahankan rakyat, UMNO pula disuruh keluar,” tegasnya.

Syed Mohd Johan Rizal turut menegur kenyataan Mahfuz yang mendakwa jika Ahmad Zahid tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan kerajaan, perkara itu sepatutnya dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet dan bukannya dijadikan isu di pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Beliau berkata, berada dalam kerajaan tidak bermakna UMNO hilang hak untuk menyuarakan pendirian terhadap isu yang menyentuh kepentingan rakyat dan parti.

Dalam masa sama, beliau mendakwa Amanah perlu terlebih dahulu memperkukuhkan sokongan serta pendirian politiknya sendiri sebelum mempersoalkan masa depan UMNO.

Scroll to Top