Banjarmasin, Indonesia: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal Virgo Transport 8 yang terputus hubungan di perairan Laut Jawa menunjukkan perkembangan apabila 86 individu berjaya dipindahkan ke beberapa kapal berhampiran lokasi kejadian, lapor Kompas.com.
Daripada jumlah itu, 15 orang disahkan selamat, seorang meninggal dunia, manakala status 70 lagi masih dalam proses pengesahan oleh pasukan SAR gabungan.
Operasi menyelamat bukan saja dilakukan pasukan SAR, malah turut dibantu beberapa kapal yang kebetulan berada di sekitar lokasi kejadian.
Data sementara menunjukkan TB TCP menyelamatkan 38 orang, manakala TB Majuhan IX menyelamatkan 16 orang dengan 15 disahkan selamat dan seorang meninggal dunia. MV Handa pula menyelamatkan 32 orang.
Secara keseluruhan, 86 individu berjaya dipindahkan ke beberapa kapal yang terbabit dalam operasi bantuan kecemasan di laut.
Bagaimanapun, status 70 individu lagi masih menunggu pengesahan rasmi berikutan proses pendataan dan pengenalan masih dijalankan di lokasi kejadian.
Kapal Virgo Transport 8 dilaporkan berlepas dari Surabaya menuju Banjarmasin jam 6.13 petang semalam dengan membawa 243 penumpang dan anak kapal.
Pelayaran pada awalnya berjalan lancar sebelum kapal memasuki perairan Laut Jawa yang dilaporkan dilanda cuaca buruk.
Ketua Pejabat Pencarian dan Pertolongan Kelas A Banjarmasin, I Putu Sudayana berkata, kapal itu mula terputus hubungan kira-kira jam 2 pagi.
“Kedudukan terakhir kapal yang diterima berada kira-kira 80 batu nautika (148.16 kilometer) dari Dermaga SAR Basirih, Banjarmasin,” katanya dalam sidang media di Banjarmasin, pagi ini.
Laporan rasmi mengenai kejadian itu diterima Pejabat SAR Banjarmasin pada jam 4.10 pagi daripada pihak syarikat menerusi Pengurus Besar PT Virgo, Yoel Rihi.
Susulan laporan itu, Pejabat SAR Banjarmasin segera menggerakkan pasukan SAR termasuk KN SAR Laksamana yang membawa 24 anggota dan bertolak ke kedudukan terakhir kapal yang dikesan pada jam 5.30 pagi.
Kapal berkenaan menjadi antara aset utama dalam operasi pencarian di Laut Jawa dengan tumpuan diberikan kepada kawasan berdasarkan koordinat terakhir yang dikesan melalui data komunikasi kapal.
Operasi turut diperkuat dengan sebuah helikopter Dauphin AS 365 N3+ HZ-3601 milik Wing Udara 2 Skadron 400 Lanudal Juanda yang berlepas dari Surabaya pada jam 9.22 pagi menuju ke kawasan pencarian.
Helikopter berkenaan digunakan untuk membantu memerhati permukaan laut khususnya bagi mengesan bot penyelamat, serpihan kapal atau mangsa yang masih berada di perairan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
