PUTRAJAYA: Kementerian Luar belum menerima sebarang maklumat yang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia terlibat dalam insiden kapal penumpang Virgo Transport 8 yang dilaporkan hilang di Laut Jawa, Indonesia.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia yang berkaitan bagi mendapatkan senarai rasmi penumpang serta maklumat lanjut yang telah disahkan mengenai insiden tersebut.
“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terus berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesahkan maklumat penumpang serta mendapatkan perkembangan lanjut.
“Rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Indonesia dinasihatkan supaya mematuhi sebarang arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya hari ini.
Terdahulu, sebuah feri Indonesia yang membawa 243 penumpang dan anak kapal hilang komunikasi ketika belayar ke utara dalam cuaca buruk dari Jawa ke Borneo.
Kapal penumpang dan kargo Virgo Transport 8 bertolak dari Surabaya, Jawa Timur pada Sabtu sebelum berdepan cuaca buruk dan terputus hubungan dengan syarikat perkapalannya awal Ahad.
Dalam pada itu, Wisma Putra menasihati rakyat Malaysia untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat hubungan melalui portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan bantuan konsular sekiranya diperlukan.
Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat berkaitan atau memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta melalui saluran berikut: Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta melalui Telefon (Pertanyaan Am): +62 21 522 4947; Talian Kecemasan (Selepas Waktu Pejabat): +62 813 8081 3036 dan E-mel: [email protected]
Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan dan menyalurkan maklumat lanjut apabila terdapat perkembangan yang telah disahkan. – UTUSAN
