Presiden UMNO ada 3 pilihan jika mahu cabar Kerajaan Perpaduan – Hassan Abdul Karim

Saadiah_ismail@bh.com.my

Kuala Lumpur: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai sekurang-kurangnya tiga pilihan jika mahu mencabar Kerajaan Perpaduan tanpa perlu menunggu Perdana Menteri mengambil tindakan menyingkirkan UMNO daripada kerajaan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tiga pilihan itu ialah menarik balik sokongan Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan, menteri UMNO meletakkan jawatan daripada Kabinet atau mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri apabila persidangan Parlimen bermula 5 Oktober ini.

Katanya, semua pilihan itu mempunyai saluran di Parlimen dan tidak memerlukan Ahmad Zahid menunggu keputusan Anwar untuk memecat menteri UMNO atau menyingkirkan parti itu daripada kerajaan sekarang.

“Kerajaan Perpaduan ini bukanlah satu gabungan rasmi sebaliknya ia longgar dan bila-bila masa boleh tarik diri.

“Dalam masa yang sama, Anwar ialah orang yang mengenang budi UMNO dan tidak sampai hati untuk memecat menteri UMNO atau menyingkirkan parti itu.

“Tidak cantik ugut mengugut, cabar mencabar di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 kerana rakyat melihat, jadi seeloknya ambil contoh seperti Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletakkan jawatannya sendiri.

“Betullah Ahmad Zahid akan berkokok di hadapan tiga juta anggota UMNO, tapi jangan lupa negara ada 33 juta rakyat,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, UMNO memberi kata dua kepada Kerajaan Perpaduan sama ada meraih semula mandat melalui Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) atau menyingkirkan parti itu secara rasmi.

Ahmad Zahid berkata gesaan itu dibuat selepas mengambil kira desakan supaya UMNO tidak lagi menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata sekiranya hubungan itu berakhir dan majoriti tidak dapat dipertahankan, pembubaran Parlimen boleh menjadi pilihan untuk mandat baharu.

“Bagaimanapun, sokongan kerajaan masih dianggarkan sekitar 120 jika BN menarik balik sokongan. Angka itu masih melepasi 112 kerusi yang diperlukan untuk majoriti mudah, namun margin hanya sekitar lapan kerusi dan tidak boleh dianggap selesa.

“Dari sudut angka semata-mata, Anwar masih boleh bertahan tanpa BN, dengan syarat PH, GPS, GRS dan penyokong kerajaan yang lain kekal memberikan sokongan.

“Persoalannya bukan sekadar sama ada BN keluar, tetapi sama ada Anwar mampu mengekalkan sekurang-kurangnya 112 sokongan secara konsisten sehingga PRU16, khususnya ketika meluluskan belanjawan dan urusan penting kerajaan,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata peranan GPS dan GRS akan menjadi jauh lebih penting kerana kedua-duanya mempunyai sekitar 30 kerusi, jumlah yang sama besar dengan BN berdasarkan komposisi semasa.

“Tetapi jika GPS dan GRS juga menarik sokongan, kerajaan akan kehilangan 30 lagi kerusi dan angkanya boleh turun kepada sekitar 90 kerusi.

“Pada tahap itu, kerajaan tidak lagi mempunyai majoriti mudah. Maka GPS dan GRS bukan lagi sekadar rakan gabungan, tetapi menjadi antara ‘kingmakers’ utama dalam menentukan kelangsungan kerajaan.

“Keputusan kedua-dua parti politik ini tidak semestinya ditentukan oleh ideologi nasional UMNO, PAS atau PH semata-mata, sebaliknya faktor utama ialah pelaksanaan MA63, kuasa dan autonomi negeri, peruntukan pembangunan, projek infrastruktur, hasil negeri, kedudukan Sabah dan Sarawak dalam kerajaan Persekutuan serta kestabilan hubungan Putrajaya dengan kerajaan negeri.

“Sabah dan Sarawak bukan lagi sekadar pelengkap kepada kerajaan Persekutuan, tetapi mempunyai kuasa tawar-menawar yang semakin besar apabila Semenanjung berdepan persaingan politik yang sengit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top