zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lebih 100 sampul berisi wang disediakan seorang warga emas sebelum meninggal dunia menjadi amanah terakhir buat keluarganya untuk diserahkan kepada mereka yang menguruskan jenazahnya.
Cucunya, Siti Mahirah Azemi, 30, berkata, arwah datuknya, Yob Abd Karim, 93, dilihat seakan-akan sudah bersedia menghadapi kematian dan menyediakan wang berkenaan untuk digunakan apabila tiba masanya.
Yob yang juga bapa kepada enam anak meninggal dunia pada 5 September lalu akibat sakit tua di rumahnya di Segari, Manjung, Perak.
Kisah mengenai amanah terakhir arwah itu kemudian dikongsikan Siti Mahirah di Threads selepas keluarga menemukan lebih 100 sampul berisi wang yang disediakan kepada mereka yang membantu urusan jenazahnya.
Menurut Siti Mahirah, arwah memang sangat bersedia untuk pergi, malah sebelum pemergiannya sering menyatakan ajalnya semakin dekat.
“Arwah tok wan selalu cakap dia sudah tak larat dan tak lama, cuma kami tidak sangka dia sudah menyediakan sampul berisi wang untuk diinfaqkan kepada mereka yang membantu menguruskan jenazahnya.
“Jumlahnya lebih daripada 100 sampul dan kami sendiri tidak tahu bila semuanya disediakan kerana keadaan sampulnya sudah lama.
“Namun, ayah (Azemi Yob) kata yang arwah tok wan sudah beritahu opah (Selmiah Said, 85) yang dia ada sediakan duit itu dan pesan beri kepada mereka yang uruskan jenazah dia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Siti Mahirah berkata, sampul itu diberikan kepada mereka yang membantu menguruskan jenazah datuknya sebagaimana diamanahkan, namun kebanyakannya tidak mengambil sampul itu sebaliknya menyerahkan semula kepada keluarga untuk diinfaqkan atas nama arwah.
“Jadi kami gunakan ia untuk mengadakan tahlil dan disedekahkan kepada masjid sebagai amal jariah untuk arwah,” katanya.
Menurutnya, arwah datuknya tidak mempunyai sakit kronik, cuma kesihatannya mula merosot selepas terjatuh di dalam bilik air kira-kira dua bulan lalu menyebabkan pergerakannya terbatas.
“Namun, dalam tempoh dua hingga tiga minggu sebelum meninggal dunia, arwah tok wan sudah tidak mampu bangun dan hanya terbaring. Ketika itu, kami memang dapat lihat dia semakin lemah.
“Arwah tok wan juga selalu cakap dia sudah tidak larat dan seperti sudah sangat bersedia sekiranya tiba masanya untuk pergi, namun tidak sangka tok wan masih memikirkan orang lain walaupun selepas ketiadaannya dengan menyediakan sampul itu,” katanya.
Siti Mahirah berkata, kenangan terhadap arwah akan terus terpahat dalam ingatan keluarga terutama amanah terakhir yang ditinggalkannya.
“Tahun depan kami sudah tidak dapat beraya bersama arwah, namun segala ajaran dan kebaikannya akan terus kami ingat. Doa kami supaya rohnya ditempatkan dalam rahmat dan lindungan Allah SWT,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
