Madrid: Kimi Antonelli semakin menghampiri kejuaraan dunia Formula Satu (F1) selepas muncul pemenang Grand Prix (GP) Sepanyol di litar baharu Madrid, hari ini.
Kemenangan kelapan pemandu Itali berusia 20 tahun itu musim ini menyaksikan dia melebarkan kelebihan di puncak kejuaraan kepada 81 mata selepas 14 pusingan.
Antonelli memanfaatkan masa tepat ketika kereta keselamatan maya (VSC) diaktifkan selain masalah hentian pit McLaren yang menjejaskan peluang Lando Norris pada pusingan ke-16 daripada 57 pusingan.
Norris yang bermula dari petak utama dan menguasai perlumbaan pada peringkat awal dilihat berpeluang cerah untuk meraih kemenangan, namun masalah di hentian pit menyaksikan pelumba McLaren itu terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.
Max Verstappen daripada Red Bull menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Antonelli melintasi garisan penamat untuk meraih kemenangan di litar yang menyukarkan aksi memotong.
Antonelli kini mengumpul 292 mata untuk mendahului kejuaraan, manakala rakan sepasukan di Mercedes, George Russell berada di tangga kedua dengan 211 mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
© New Straits Times Press (M) Bhd
