Riyadh: Cristiano Ronaldo menggesa dengan tegas supaya penyokong Liga Pro Saudi yang mencemuh Ruben Neves secara keterlaluan dengan laungan mengenai mendiang sahabatnya, Diogo Jota, dikenakan larangan seumur hidup memasuki stadium.
Rakaman yang dikongsikan di media sosial menunjukkan Neves bertindak balas terhadap penyokong Al-Taawoun yang berulang kali melaungkan nama Jota ke arah pemain tengah Portugal dan Al-Hilal itu pada Sabtu.
Neves dilihat memberi isyarat kepada penyokong berkenaan bahawa ‘Tuhan sedang memerhati’ apabila dia terlebih dahulu menunjuk ke langit, kemudian ke matanya sebelum menghalakan jari ke arah mereka. Bintang Portugal itu mengulangi isyarat berkenaan sebelum kembali meneruskan perlawanan.
Kapten Portugal, Ronaldo, menerusi hantaran di Instagram pada Ahad berkata: “Liga mesti mengambil tindakan dan menghukum kelakuan penyokong seperti ini. Ini bukan lagi bola sepak dan mesti ada batasnya. Individu yang berkelakuan seperti ini tidak sepatutnya dibenarkan memasuki stadium lagi.”
Neves turut menyentuh secara ringkas mengenai insiden itu selepas Al-Hilal membelasah Al-Taawoun 6-0 apabila dia berjalan pantas melalui zon media selepas perlawanan.
“Saya harap mereka tidak pergi menunaikan solat selepas ini,” kata Neves kepada pemberita.
Neves adalah sahabat baik Jota, yang meninggal dunia secara tragis pada usia 28 tahun bersama adiknya, Andre Silva, 25, dalam kemalangan jalan raya di utara Sepanyol pada Julai 2025.
Neves pernah beraksi bersama Jota di Wolves dan skuad kebangsaan Portugal, malah menjadi salah seorang pembawa keranda pada pengebumian Jota.
Pemain berusia 29 tahun itu tahun lalu mendedahkan dia membuat tatu baharu pada kakinya yang memaparkan dirinya sedang memeluk mendiang rakan sepasukannya sebagai penghormatan penuh emosi. Portugal turut membuat keputusan untuk memberikan Neves jersi nombor 21 milik Jota.
© New Straits Times Press (M) Bhd
