LETUSAN Anak Krakatau menimbulkan persoalan sama ada fenomena itu mampu memberi kesan terhadap suhu global.
Namun, di sebalik kepulan abu tebal dan gas yang dibebaskan, pakar menjelaskan bahawa letusan berkenaan tidak cukup besar untuk memberi kesan ketara terhadap iklim dunia atau mengekang pemanasan yang dijangka berlaku susulan fenomena El Nino yang semakin memuncak.
Menurut Pengarah Kanan Operasi Ramalan AccuWeather, Dan DePodwin, kepulan abu daripada Krakatau kebanyakannya masih berada di troposfera dan tidak mencapai stratosfera.
“Letusan itu mungkin hanya memberi kesan jangka pendek dan setempat terhadap keadaan suhu,” katanya.
Imej satelit yang dirakam pada 5 September lalu menunjukkan kepulan gas gunung berapi berwarna putih di atas awan susulan letusan tersebut.
Agensi meteorologi Indonesia juga melaporkan bahan vulkanik dikesan pada ketinggian sehingga 15,240 meter (m) di sebelah barat dan 6,096m di sebelah timur Anak Krakatau.
Kepulan tersebut masih berada di bawah tropopaus iaitu sempadan antara troposfera dan stratosfera.
Letusan gunung berapi perlu melepaskan sejumlah besar sulfur dioksida ke altitud tinggi sehingga mencapai stratosfera untuk menyebabkan penyejukan global yang ketara.
Di lapisan itu, gas tersebut boleh membentuk aerosol sulfat halus yang memantulkan sebahagian cahaya matahari kembali ke angkasa.
Abu gunung berapi pula mengandungi zarah halus daripada batu dan kaca. Kebanyakan abu yang berada di troposfera akan dibawa angin atau disingkirkan melalui hujan dalam tempoh singkat manakala abu pada altitud kira-kira 9,144m iaitu pada paras penerbangan kebanyakan pesawat komersial biasanya tidak kekal lama di atmosfera sehingga memberi kesan ketara terhadap iklim global.
Stratosfera pula berbeza kerana lapisannya lebih stabil. Aerosol sulfat yang sampai ke stratosfera boleh kekal di udara selama bertahun-tahun dan tersebar ke seluruh dunia.
Keadaan itu pernah berlaku selepas Gunung Pinatubo di Filipina meletus pada 1991. Letusan besar tersebut melepaskan kira-kira 20 juta tan sulfur dioksida dan abu melebihi 19.3 kilometer ke atmosfera.
Awan aerosol yang terhasil kemudiannya tersebar ke seluruh dunia dan mengurangkan jumlah tenaga matahari yang sampai ke permukaan bumi.

Imej satelit Landsat 8 pada 5 September lalu merakam kepulan abu tebal dan gas vulkanik dimuntahkan Anak Krakatau. – Foto Agensi
“Letusan Anak Krakatau tidak setanding dengan skala Pinatubo. Ia melepaskan sejumlah besar bahan vulkanik ke altitud tinggi hingga mencapai stratosfera membolehkan bahan tersebut kekal lebih lama di atmosfera dan menghasilkan kesan penyejukan yang kecil tetapi boleh diukur,” jelas DePodwin.
Satu lagi letusan yang jauh lebih besar berlaku di Gunung Tambora, Indonesia pada 1815. Letusan tersebut memberi kesan terhadap iklim global dan menyumbang kepada ‘Tahun Tanpa Musim Panas’ pada 1816. Ketika itu, cuaca luar biasa sejuk dan lembap menyebabkan kemusnahan tanaman secara meluas di beberapa kawasan Eropah dan Amerika Utara.
Bagaimanapun, letusan terbaru Anak Krakatau dijangka tidak memberi kesan terhadap iklim global pada skala yang sama.
Indonesia berisiko tinggi dilanda bencana
Kedudukan geografi Indonesia menjadi antara faktor utama yang meletakkan negara itu dalam senarai negara paling berisiko dilanda bencana di dunia. Berdasarkan WorldRiskReport 2024, Indonesia menduduki tempat kedua daripada 193 negara selepas Filipina.
Antara faktor yang menyumbang kepada risiko tersebut ialah Indonesia terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik iaitu kawasan yang aktif dari segi seismik dan aktiviti gunung berapi. Negara itu juga berada di kawasan pertemuan beberapa plat tektonik utama termasuk Plat Eurasia, Indo-Australia, Pasifik dan Filipina.
Selain gempa bumi dan tsunami, Indonesia juga mempunyai lebih 100 gunung berapi aktif, sekali gus menjadikannya antara negara paling aktif dari segi aktiviti seismik dan vulkanik di dunia.
Gabungan faktor geologi, bentuk muka bumi, kepadatan penduduk dan perubahan iklim pula menjadikan usaha mengurangkan risiko bencana pada masa hadapan sebagai cabaran besar kepada pemerintah.
Info
1883 – Krakatau meletus dahsyat
Letusan besar Krakatau memusnahkan sebahagian besar pulau asal dan membentuk kaldera bawah laut. Tsunami yang tercetus mengorbankan lebih 36,000 orang.
1927–1929 – Anak Krakatau muncul
Selepas kira-kira 44 tahun, aktiviti gunung berapi kembali berlaku di kawasan kaldera. Pada 29 Disember 1927, letusan bawah laut dikesan sebelum daratan baharu muncul ke permukaan. Anak Krakatau ‘lahir’ secara rasmi pada 11 Jun 1929.
1931–1960 – Mula membesar
Gunung berapi baharu itu melalui fasa pertumbuhan pesat dan merekodkan sekurang-kurangnya 47 letusan. Sebuah tasik turut terbentuk di dalam kawah sebelum tertimbus akibat aktiviti letusan.
1992–2001 – Aktif hampir setiap hari
Anak Krakatau memasuki tempoh sangat aktif dengan letusan berlaku hampir setiap hari. Ketika kemuncak aktiviti, letusan berlaku setiap 15 minit.
2007–2009 – Aktiviti semakin meningkat
Status amaran dinaikkan ke Tahap III pada Oktober 2007. Pada 9 November tahun sama, sebanyak 182 letusan direkodkan dalam tempoh sehari selain lava yang mengalir di cerun gunung.
2011–2012 – Aktiviti seismik memuncak
Pada Oktober 2011, sebanyak 5,883 aktiviti seismik direkodkan dalam sehari. Letusan pada 2012 turut menghasilkan aliran lava ke laut dan menyebabkan kawasan pulau itu terus berkembang.
2018 – Runtuhan dan tsunami
Anak Krakatau mencapai ketinggian sekitar 338 meter sebelum sebahagian besar cerunnya runtuh pada 22 Disember 2018. Runtuhan tersebut mencetuskan tsunami yang melanda pesisir Banten dan Lampung, meragut 437 nyawa serta menyebabkan lebih 40,000 penduduk dipindahkan. Ketinggiannya turut susut dua pertiga kepada 110 meter.
2022–2023 – Membina semula
Selepas runtuhan 2018, Anak Krakatau kembali melalui fasa pertumbuhan. Aktiviti letusan berterusan dan gunung itu mula membina semula struktur fizikalnya.
2026 – Kembali aktif
Aktiviti Anak Krakatau kembali meningkat pada Julai 2026 sebelum memasuki fasa letusan lebih kuat bermula 4 September.
