Kozhikode, India: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sheikh Abu Bakar, yang julung kali dianugerahkan sebagai pengiktirafan terhadap khidmat awam beliau selama lebih lima dekad serta sumbangannya dalam bidang pendidikan, keilmuan Islam, pembangunan institusi, dialog antarabangsa dan kesejahteraan manusia.
Anugerah itu disampaikan pada majlis ‘Gathering of Honour for the Prime Minister of Malaysia’ di Pusat Konvensyen Markaz, di sini, sempena lawatan Anwar ke Markazu Saquafathi Sunniya atau lebih dikenali sebagai Jamia Markaz, antara institusi Islam terkemuka di India.
Pada majlis sama, Anwar turut menerima manuskrip tulisan tangan Sahih al-Bukhari sebagai penghargaan terhadap penganjuran majlis bacaan hadis antarabangsa di bawah naungan kerajaan Malaysia sejak tiga tahun lalu.
Manuskrip berkenaan disampaikan Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad.
Dalam petikan penghargaan yang dibacakan pada majlis itu, Rektor Yayasan Sheikh Abu Bakar, Dr Roshan Nurani, berkata Anwar menunjukkan ketekunan, wawasan institusi serta komitmen berterusan terhadap dialog, pembangunan saksama, pendidikan dan maruah manusia sepanjang kehidupan awamnya.
Beliau berkata sumbangan Anwar melangkaui jawatan politik, khususnya menerusi usaha beliau memelihara dan menyebarluaskan tradisi kesarjanaan Islam.
“Dengan penuh penghormatan, Yayasan Sheikh Abu Bakar menganugerahkan Anugerah Kecemerlangan yang pertama kepada Anwar Ibrahim sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang beliau dalam khidmat awam, pendidikan, pembangunan ekonomi dan institusi, pemikiran Islam serta dialog antarabangsa, selain menghargai kehidupan yang didedikasikan untuk membentuk masyarakat melalui ilmu, kepimpinan dan khidmat kepada kemanusiaan,” katanya.
Kerajaan Malaysia turut menyokong penganjuran majlis bacaan hadis antarabangsa yang dipimpin Sheikh Abubakr di Kuala Lumpur pada 2023, 2024 dan 2025, sebagai pengiktirafan terhadap enam dekad pengajaran dan kesarjanaan beliau dalam bidang hadis.
Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Sheikh Abubakr Ahmad, yang juga Mufti Besar India ke-10, selepas menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di New Delhi.
© New Straits Times Press (M) Bhd

