Budapest: Melissa Jefferson Wooden dan Kenny Bednarek dari Amerika Syarikat (AS) terus menguasai acara pecut apabila masing-masing merangkul emas 200 meter (m) pada Kejohanan Ultimate Olahraga Dunia, sehari selepas dinobatkan juara 100m.
Kedua-duanya turut membawa pulang hadiah lumayan AS$300,000 (RM1.26 juta) selepas melengkapkan sapuan emas dalam dua acara pecut individu pada kejohanan sulung berkenaan.
Melissa mengukuhkan statusnya sebagai ratu pecut baharu dunia apabila mencatat 21.47 saat (s), menjadikannya wanita ketiga terpantas dalam sejarah.
Ia hadir hanya 24 jam selepas pelari berusia 25 tahun itu menjuarai acara 100m.
Juara Olimpik, Gabby Thomas menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 21.77s.
Beberapa minit sebelum itu, Bednarek yang lebih dikenali sebagai ‘Kung Fu Kenny’ kerana sering memakai bandana, menguasai acara 200m lelaki apabila memecut meninggalkan juara Olimpik Botswana, Letsile Tebogo untuk menang dalam 19.52s.
Sebaik melintasi garisan penamat, paparan skrin stadium menunjukkan legenda pecut dunia, Usain Bolt sedang tersenyum sambil memberikan tepukan.
Bagi dua pelari AS itu, kejayaan berkenaan menjadi kemuncak kepada usaha keras mereka sepanjang tiga tahun menjalani latihan bersama di Florida Tengah.
Buat Melissa, kejayaan itu turut mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pelari pecut elit dunia, hanya tiga tahun selepas dia menyertai Kejohanan Dunia di Budapest sebagai sebahagian daripada skuad pelari berganti-ganti AS.
“Saya langsung tidak menjangka dapat berlari sepantas itu malam ini. Saya fikir mungkin saya boleh mencatat masa seperti ini dalam tempoh dua tahun lagi, tetapi bukan malam ini.
“Saya benar-benar hilang kata-kata. Saya cuma gembira dan mendapat inspirasi untuk melakukan sesuatu dengan kemampuan sendiri. Keputusan ini memberi inspirasi untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.
Bednarek pula sudah hampir sedekad membuktikan dirinya sebagai antara pelari 200m terbaik dunia, termasuk meraih dua pingat perak Olimpik dalam acara berkenaan.
Kemenangan 100m adalah gelaran dunia individu pertama buat pelari itu.
“Oh Tuhan, beberapa hari ini benar-benar luar biasa. Saya gembira berada di sini dan dari segi prestasi, saya memberikan diri sendiri A+.
“Saya berjaya melaksanakan beberapa perkara yang saya usahakan dan menggabungkannya di sini. Tahun ini saya fokus untuk membuat kemajuan.
“Pulang dari Budapest dengan dua kemenangan adalah sesuatu yang menakjubkan,” kata Bednarek.
Kejohanan sulung selama tiga hari itu mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 20,000 penonton memenuhi stadium pada setiap malam.
Pada malam terakhir, suasana lebih menyerupai pesta berbanding kejohanan olahraga tradisional apabila muzik dimainkan sepanjang acara dan atlet turut menikmati sokongan penonton.
Jaguh lompat tinggi Itali, Gianmarco Tamberi turut mencuri perhatian apabila melepasi ketinggian 2.37m untuk merangkul gelaran lelaki.
Tamberi yang sememangnya gemar berinteraksi dengan penonton beraksi dengan lagu ‘Rock This Party’ sebelum ‘Put Your Hands Up in the Air’ berkumandang di stadium.
Pemegang rekod dunia lompat bergalah, Mondo Duplantis pula menutup tirai kejohanan dengan mempersembahkan lagunya, ‘Gold’ yang turut menjadi lagu tema acara berkenaan.
Persembahan itu diserikan pertunjukan bunga api di atas Gyula Zsivotzky National Athletics Centre.
Presiden Olahraga Dunia, Sebastian Coe berkata, kejohanan itu akan diadakan setiap dua tahun, namun edisi sulung berkenaan turut menjadi medan percubaan untuk menilai format yang sesuai.
Menurutnya, elemen yang terbukti berjaya berpotensi diterapkan dalam Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia pada masa depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
