PUTRAJAYA – [KEMAS KINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneruskan rundingan dengan Kementerian Kewangan (MoF) bagi memuktamadkan kadar elaun baharu berdasarkan jam tugasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kadar sedia ada sebanyak RM8 sejam dilihat tidak lagi sepadan dengan kadar gaji minimum semasa, khususnya bagi anggota yang menjalankan tugasan sehingga 12 jam sehari.
Menurut beliau, dengan kadar RM8 sejam, anggota RELA yang bertugas selama lapan jam sehari untuk tempoh 24 hari hanya menerima RM1,536, iaitu masih di bawah kadar gaji minimum RM1,700.
“Kalau mereka bertugas lapan jam sehari, RM8 darab lapan ialah RM64. RM64 darab 24 hari, bawah daripada gaji minimum.
“Kalau mereka bertugas 12 jam, RM8 darab 12 ialah RM96. RM96 darab 24 hari, lebih sikit sahaja daripada kadar gaji minimum,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini.
Saifuddin berkata, beliau telah membangkitkan perkara itu dalam perbincangan bajet bersama MoF dan mengarahkan Ketua Setiausaha KDN serta Timbalan Ketua Setiausaha untuk meneruskan rundingan berkenaan tanpa mengambil masa terlalu panjang.
Beliau mahu kadar elaun baharu itu dapat dilaksanakan sebaik-baiknya pada tahun kewangan terdekat.
“Mulakan, jangan ambil masa panjang, sebaik-baiknya tahun kewangan yang terdekat ini laksanakan,” katanya.
Sementara itu ditanya mengenai kadar upah yang baharu dicadangkan, Saifuddin menjelaskan kadar baharu perlu ditetapkan dalam julat yang munasabah.
Sebagai perbandingan, beliau berkata kadar bayaran dalam industri kawalan keselamatan ketika ini adalah sekitar RM12 hingga RM13 sejam, selain turut melibatkan caruman seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Bagaimanapun, beliau menegaskan kadar berkenaan tidak boleh dijadikan penanda aras secara terus bagi RELA kerana ia membabitkan entiti perniagaan yang menyediakan perkhidmatan kawalan keselamatan.
Menurutnya, jika kadar elaun RELA dinaikkan daripada RM8 kepada RM12 sejam, ia merupakan lonjakan besar yang boleh memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.
“Jadi kita tahu volumenya antara RM12 ke RM13 bilion. Itu upah satu jam itu RM12 ke RM13.
“RELA tak sampai tahap itu lah. Kalau RM8 pergi ke RM12, itu lonjakan yang mungkin memberikan kesan kewangan. Jadi saya istilahkan julat yang munasabah,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata isu kebajikan bukan sahaja membabitkan anggota RELA, malah turut menjadi keutamaan bagi unit-unit lain di bawah agensi KDN.
Beliau berkata, dua inisiatif berkaitan kebajikan anggota RELA yang diumumkan itu diharapkan dapat memberikan impak besar kepada mereka yang menjalankan tugasan.
Terdahulu, Saifuddin turut mengumumkan pemberian elaun kepada anggota RELASIS di institusi pengajian tinggi pada kadar yang sama, berdasarkan peruntukan sedia ada serta peruntukan tahun berikutnya.
Beliau berkata, pelaksanaan elaun RELASIS itu boleh disegerakan kerana tidak memerlukan peruntukan kewangan tambahan yang memerlukan keputusan Jemaah Menteri.
