Yustie Norry bawa warisan Malaysia ke pentas London

KUALA LUMPUR – Pereka fesyen tempatan, Yustie Norry bakal membawa interpretasi baharu warisan Malaysia menerusi koleksi terbaharunya, UNTAMED HERITAGE, di House of iKons Fashion Week London pada 19 September ini.

Koleksi berkenaan akan dipersembahkan di London, United Kingdom dengan kerjasama Diamodel Academy, sekali gus membuka ruang kepada karya serta bakat fesyen Malaysia mendapat pendedahan di pentas antarabangsa.

Menurut Yustie, UNTAMED HERITAGE tidak terikat kepada satu fabrik atau bentuk tradisi tertentu, sebaliknya menggabungkan pelbagai tekstur dan material dengan struktur couture, siluet dramatik serta elemen warisan Malaysia.

Katanya, songket digunakan pada beberapa rekaan sebagai antara elemen warisan, namun tidak menjadi keseluruhan identiti koleksi berkenaan.

“Bagi saya, heritage bukan bermaksud kita perlu menggunakan elemen tradisional pada setiap helaian.

“Heritage adalah tentang dari mana kita datang dan bagaimana kita membawa identiti itu bersama kita. UNTAMED pula menggambarkan kebebasan saya untuk menterjemahkannya dengan cara saya sendiri,” katanya.

Selain elemen warisan, pengaruh equestrian turut diterapkan pada sebahagian struktur, siluet dan karakter rekaan koleksi tersebut.

Yustie berkata, koleksi itu selari dengan identitinya menerusi pendekatan Couture. Artistic Fashion dan falsafah “Where Strength Becomes Art.” yang menggabungkan sisi feminin dengan kekuatan.

Ia diterjemahkan menerusi elemen seperti corsetry, struktur yang tegas, perincian tekstur, pergerakan fabrik serta dramatic trains.

London merupakan pentas antarabangsa terbaharu buat Yustie selepas karya beliau pernah dipersembahkan di Paris pada 2013, New York pada 2018, Milan pada 2024 dan Jakarta pada 2026.

Dalam pada itu, penglibatan Diamodel Academy dalam perjalanan tersebut turut memberi peluang kepada model dan bakat muda Malaysia memperoleh pengalaman serta pendedahan di pentas fesyen antarabangsa.

“Saya mahu perjalanan ini bukan hanya mengenai Yustie Norry. Apabila kita mempunyai peluang berada di pentas antarabangsa, saya percaya kita juga boleh membawa orang lain bersama.

“Saya gembira dapat berkongsi pengalaman London ini bersama Diamodel Academy dan model-model yang terlibat,” katanya.

Yustie berkata, London bukan sekadar destinasi seterusnya dalam perjalanan kerjayanya, sebaliknya menjadi ruang untuk memperkenalkan bahasa rekaannya yang berani, artistik dan berakar pada identiti sendiri kepada khalayak lebih luas.

“Saya tidak mahu menghasilkan koleksi hanya untuk mengikut apa yang sedang menjadi trend. Saya mahu orang melihat sesuatu dan tahu bahawa ada karakter Yustie Norry di situ.

“London kali ini adalah tentang keberanian membawa heritage kita ke hadapan tanpa takut untuk mengubah cara ia diterjemahkan,” katanya.

Menerusi UNTAMED HERITAGE, Yustie mahu menunjukkan bahawa warisan boleh berkembang dan diberikan suara baharu tanpa kehilangan akar identitinya.

INFO

Yustie Norry ialah pereka fesyen Malaysia di bawah jenama Yustie Norry – Couture. Artistic Fashion.

Dikenali dengan pendekatan yang menggabungkan couture, tekstur, elemen warisan dan karakter feminin yang kuat, karya beliau telah dipersembahkan di beberapa pentas antarabangsa termasuk Paris, New York, Milan dan Jakarta.

Menerusi falsafah “Where Strength Becomes Art.”, beliau terus meneroka cara baharu untuk menterjemahkan identiti dalam bahasa fesyen kontemporari.

Scroll to Top